Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Premier Sarawak umum Petros bakal sumbang RM1 juta kepada UNIFOR
  • TEMPATAN

Premier Sarawak umum Petros bakal sumbang RM1 juta kepada UNIFOR

Utusan Sarawak 3 hours ago
PREMIER Sarawak berucap pada Majlis Perasmian Kompleks UNIFOR, Kuching.

KUCHING: Petroleum Sarawak Berhad (Petros) mengumumkan sumbangan RM1 juta kepada Unit untuk Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi menyokong pelaksanaan program dan aktiviti pada masa akan datang.

Pengumuman itu dibuat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, sempena Majlis Perasmian Kompleks UNIFOR di Kuching, hari ini.

Beliau berkata pendekatan Sarawak berasaskan konsep inklusiviti sosial yang menekankan keterangkuman semua masyarakat tanpa mengira agama dan latar belakang.

“Di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), kita menekankan inklusiviti sosial, iaitu menerima semua pihak. Berdasarkan naluri semula jadi kita untuk saling menghormati, ia membawa kepada kerjasama. Itulah pendekatan kita,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Tambah beliau, UNIFOR bukan sahaja berperanan sebagai mekanisme penyelarasan, malah menjadi simbol perpaduan masyarakat pelbagai agama di Sarawak.

“Di bawah UNIFOR, ia menjadi titik pertemuan. Jika terdapat perbezaan, kita berbincang dan mencari penyelesaian. Masalah pasti wujud, tetapi penyelesaian mesti dicari demi manfaat semua.

Pendekatan tersebut menjadikan Sarawak sebagai contoh dalam memperkukuh keharmonian antara agama. Syukur, Sarawak menjadi titik pertemuan dalam menggerakkan Malaysia ke hadapan,” jelasnya.

RAKAMAN gambar kenangan pada Majlis Perasmian Kompleks UNIFOR, Kuching.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa kerajaan negeri telah memperuntukkan kira-kira RM635 juta bagi pembangunan rumah ibadat bukan Islam di Sarawak, dengan RM560 juta daripadanya disalurkan kepada pelbagai rumah ibadat, manakala RM120 juta lagi untuk pembangunan sekolah misi di seluruh negeri.

“Sebanyak kira-kira RM120 juta diperuntukkan bagi pembangunan berterusan sekolah misi di seluruh Sarawak.

“Kompleks ini mencerminkan komitmen kita dalam mengekalkan keharmonian pelbagai agama dan kaum di Sarawak, selain bergerak ke hadapan melalui ilmu pengetahuan serta mentransformasikan negeri ini,” ujarnya.

Untuk rekod, UNIFOR ditubuhkan pada tahun 2017 oleh kerajaan Sarawak sebagai unit khas bagi menyelaras bantuan pembangunan rumah ibadat bukan Islam di negeri ini.

Unit itu berperanan menyalurkan serta menyelaras peruntukan kerajaan negeri kepada rumah ibadat bukan Islam secara lebih sistematik, teratur dan inklusif.

Kompleks UNIFOR pula berfungsi sebagai pusat penyelarasan utama bagi hal ehwal rumah ibadat bukan Islam serta melambangkan komitmen kerajaan Sarawak dalam mengekalkan keharmonian dan perpaduan masyarakat pelbagai agama.

Oleh Masrin Affirah

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: AZAM dedah teknologi 3D Pen kepada komuniti sempena Pesta Kaul Mukah 2026
Next: Kompleks UNIFOR simbol perpaduan pelbagai agama Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.