

KUCHING: Dunia kewartawanan kehilangan seorang lagi pengamal media berpengalaman apabila jurugambar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Allahyarham Mohd Razali Nordin, meninggal dunia, sekali gus meninggalkan kesan mendalam kepada rakan seperjuangan serta industri media negara.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, pemergian Allahyarham bukan sahaja dirasai oleh keluarga, malah turut memberi kesan besar kepada komuniti media yang pernah bekerjasama rapat dengannya.
Menurut beliau, Allahyarham banyak menyumbang dalam tugasan liputan dan dokumentasi pelbagai peristiwa penting, khususnya yang melibatkan hubungan antara kerajaan dan masyarakat, yang disifatkan sangat membantu dalam penyampaian maklumat kepada rakyat.
“Beliau seorang yang komited dalam tugas kewartawanan. Sumbangan beliau dalam bidang ini amat besar dan jasa beliau dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat akan terus dikenang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Masjid At-Taqwa pada hari ini.

Datuk Abdullah turut menggambarkan Allahyarham sebagai individu yang ceria, mudah didekati serta aktif dalam aktiviti santai dan sukan bersama rakan sekerja, sekali gus disenangi ramai sepanjang perkhidmatannya.
Pada masa sama, beliau menzahirkan rasa simpati terhadap keluarga Allahyarham serta rakan media yang kehilangan seorang sahabat kerja yang dekat dan berdedikasi dalam tugas.
Beliau turut mengingatkan warga media agar terus menjaga kesihatan serta saling mengambil berat antara satu sama lain, terutama dalam persekitaran kerja yang mencabar.
“Perkara ini mengingatkan kita tentang pentingnya semangat kebersamaan dan sokongan dalam kalangan rakan sekerja,” katanya lagi.
Tambah beliau, pihak berkaitan termasuk agensi media akan meneliti bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada keluarga Allahyarham sekiranya diperlukan.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Umum Sarawak pada 1.44 pagi, selepas mengalami beberapa komplikasi kesihatan termasuk masalah injap jantung, batu karang hempedu, komplikasi buah pinggang serta diabetes.