SYDNEY: Australia akan menggubal undang-undang menyekat akses kanak-kanak menggunakan media sosial dengan menetapkan had usia minimum 16 tahun, kata Perdana Menteri, Anthony Albanese, hari ini.
Beliau berkata, larangan berkenaan secara tidak langsung dapat menjauhkan kanak-kanak dari peranti, seterusnya mendorong mereka menghabiskan masa dengan kegiatan lebih berfaedah seperti bermain bola sepak di padang.
Katanya, undang-undang berkaitan hal itu akan diperkenalkan tahun ini, sambil menggambarkan kesan laman sosial kepada golongan muda sebagai satu kemudaratan.
Had umur minimum untuk kanak-kanak menggunakan laman sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok belum diputuskan tetapi dijangka antara 14 hingga 16 tahun, kata Albanese.
Tambahnya, ujian pengesahan umur akan dijalankan dalam beberapa bulan akan datang sebelum undang-undang diperkenalkan menjelang akhir tahun ini.
“Saya mahu melihat kanak-kanak menjauhkan diri daripada peranti mereka dan ke padang bola sepak, kolam renang dan gelanggang tenis.
“Kami mahu mereka mempunyai pengalaman sebenar berinteraksi dengan orang sebenar kerana kami tahu bahawa media sosial menyebabkan kemudaratan sosial,” katanya kepada penyiar nasional ABC.
Dalam siri temu bual media mengenai rancangan itu, Albanese berkata kecenderungan peribadinya adalah untuk mengharamkan media sosial bagi kanak-kanak yang berumur di bawah 16 tahun. – AFP