LAZIO yang mengejar kejuaraan mengalami kekalahan pertama mereka dalam Serie A dalam tempoh sembilan bulan apabila kecundang 3-2 di tangan Atalanta semalam dan kekal empat mata di belakang pendahulu Juventus setelah melepaskan kelebihan dua gol.
Lazio, beraksi perlawanan pertama mereka sejak 29 Februari selepas ‘lockdown’ Covid-19, mendahului menerusi gol sendiri Marten De Roon apabila hanya enam minit di Bergamo dengan Sergej Milinkovic-Savic menambah gol kedua menerusi percubaan jarak jauh lima minit kemudian.
Bagaimanapun, Robin Gosens merapatkan jurang buat pasukan tempat keempat Atalanta tujuh minit sebelum rehat dengan Ruslan Malinovskyi menggegarkan gol penyamaan pada minit ke-66.
Jose Luis Palomino kemudian memastikan kemenangan tuan rumah 10 minit sebelum tamat.
Lazio yang berusaha mencari gelaran Serie A ketiga mereka selepas 1974 dan 2000 hanya tewas tiga kali dalam liga musim ini.
Kekalahan terakhir mereka sebelum semalam adalah 1-0 di tangan Inter Milan pada 25 September.
“Kami tahu bahawa kembali menentang Atalanta adalah salah satu lawan yang paling terburuk untuk dihadapi,” kata jurulatih Lazio, Simone Inzaghi yang anak didiknya diikat 3-3 oleh pasukan dari Bergamo itu di Roma pada Oktober.
“Sayangnya perlumbaan memenangi gelaran menjadi lebih rumit dan kami menyesalinya kerana kami telah mengharungi siri perlawanan tanpa kalah yang panjang.
“Saya tidak suka kalah dan pemain sedikit hampa.” katanya lagi.
Atalanta kini ketinggalan empat mata di belakang Inter Milan yang berada di kedudukan ketiga selepas seri 3-3 di tempat sendiri menentang Sassuolo semalam.
Juara lapan kali Juventus merupakan satu-satunya tiga pasukan teratas yang menang perlawanan minggu ini dengan kemenangan 2-0 di Bologna tempoh hari.-AFP