BINTULU: Keperluan masyarakat khususnya dalam aspek pertanian terus diberikan perhatian dalam melonjak pendapatan ekonomi penduduk.
Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip berkata, ini termasuklah melibatkan khidmat nasihat, peralatan, projek dan sebagainya.
“Kerajaan GPS memberi perhatian kepada penduduk luar bandar dan bandar. Bukan hanya bercakap bahkan memberi bantuan, nasihat dan pertolongan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan penutupan Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP) di Rumah Pada Selan, Kuala Anau Tatau.
Menurutnya, kerajaan menerusi Jabatan Pertanian kini giat mengadakan program untuk mendekatkan penduduk dengan jabatan terbabit.
“Jabatan Pertanian telah mengadakan program untuk mendekati penduduk dalam usaha menarik minat mereka menceburi bidang ini,” katanya.
Talib, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, memaklumkan bahawa Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa memberikan perhatian kepada semua penduduk di negeri ini.
Program AgriCOP tersebut dihadiri oleh120 peserta dari lima rumah panjang iaitu Rumah Pada, Rumah Jumput, Rumah Empaling, Rumah Robert dan Rumah John.
Pada masa yang sama, beliau memaklumkan pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2020 di kawasan Annau/Batang Tatau.
“Antara projek tersebut ialah bina baharu jalan di Rumah Lunsa Panto (Rumah Pada Ak Selan) sebanyak RM85,000, bina baharu Pejalan Kaki Kayu dan Jeti di Rumah John Assan sebanyak RM240,000, bina baharu jalan menuju ke Rumah Jumput Senduk sebanyak RM235,000 dan bina bahru Jeti Berbumbung di Rumah Robert Nyembong sebanyak RM50,000.”
“Manakala, Projek Bina Jalan Baru Tatau ke Kuala Tatau (Pakej 1) (Tatau – SK Annau) sebanyak RM28 juta akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia nanti,” katanya.
Turut hadir, wakil Pemangku Pegawai Pertanian Bahagian Bintulu Kairulnieza Waynie dan Pemanca Gerosen Jubin.
Oleh Ellie Edward