
LIMBANG: Aspek keselamatan makanan merupakan tumpuan utama di Bazar Ramadan Limbang, di samping pemantauan yang akan terus dipergiatkan bagi memastikan peniaga mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan dalam aspek kebersihan makanan.
Wali Kota Majlis Daerah Limbang (MDL) Kaunselor Sufian Mohat berkata seramai 30 anggota penguatkuasaan dan kakitangan MDL akan mengadakan pemeriksaan dan pemantauan di kawasan Bazar Ramadan setiap hari.
“Tapak bagi Bazar Ramadan tahun ini dikekalkan di Lot 777 dan peniaga diingatkan untuk mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan bagi mengelak tindakan tegas diambil.
“Aspek kebersihan makanan perlu diberi keutamaan selain menyediakan makanan yang berkualiti,”katanya kepada media pada sidang media Bazar Ramadan 2025 di pejabat MDL hari ini.
Selain itu katanya bazar berkenaan juga menjadi pilihan mereka yang bukan beragama Islam untuk membeli makanan dan minuman.
“Untuk tahun ini kita juga menyediakan kanopi untuk peniaga luar Limbang termasuk Nasi Kedah Melayu dari Miri,”katanya.
Katanya selain di Lot 777, pihaknya juga menerima permohonan untuk jualan Ramadan di kawasan Night Street Market selain kawasan berjaja di kampung dan berhampiran kediaman.
MDL turut menyediakan beberapa prasarana di tapak bazar termasuk kanopi, tong sampah, bekalan elektrik dan air bersih.
Bazar Ramadan Limbang merupakan tumpuan pengunjung tempatan dan pengunjung dari negara jiran Brunei yang memilih untuk membeli juadah berbuka puasa di sini.
MDL akan bekerjasama dengan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), RELA dan agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran aliran trafik di kawasan itu.
Bazar tahun ini disertai seramai 121 peniaga melibatkan makanan berasap, bermasak, kuih muih,minuman, kek biskut, pakaian dan sebagainya.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail bakal merasmikan Bazar Ramadan 2025.
Turut hadir, Setiausaha MDL Michelle Hildalyne Jering Anthony Luta dan Pengerusi Bazar Ramadan 2025 Duraman@Abdul Rahman Tamit.
Oleh ADENG EDRUS