
KUALA LUMPUR: Beregu campuran utama negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan, pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2025 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil di sini, hari ini.
Kejayaan cemerlang gandingan itu pada pentas antarabangsa terutama muncul juara dunia di Paris, Perancis tahun lepas sekali gus menamatkan penantian 48 tahun Malaysia untuk meraih gelaran dunia beregu campuran, membolehkan mereka membawa pulang anugerah berprestij tersebut.
Bagi Ee Wei, anugerah itu bukan sahaja buat dirinya dan Tang Jie, malah untuk seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan kepada mereka, selain turut menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai batu loncatan untuk terus memburu kejayaan lebih gemilang selepas ini.

“Sudah tentu selepas bergelar juara dunia, masih banyak sasaran yang perlu dicapai dan sudah tentu orang ramai mahu kami melakar lebih banyak kejayaan. Namun, saya rasa ini merupakan perjalanan yang penting bersama pasangan saya kerana dalam sukan ini, kita ada kalah dan menang.
“Ketika menang, kita raikan bersama dan apabila kalah, kita perlu bangkit serta mengatasinya untuk mencapai pencapaian yang lebih baik. Saya percaya jika kita sentiasa bekerja keras, rajin dan berdisiplin serta percaya kepada Tuhan, kita pasti mampu memperoleh sesuatu yang lebih baik,” katanya.

Atlet kelahiran Melaka itu berkata demikian kepada pemberita pada sidang media ASN 2025, di sini.
Penyampaian anugerah itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, Tang Jie berkata beliau merasakan bahawa tanpa Malaysia, dia dan pasangannya tidak akan mencapai tahap seperti hari ini.
“Jadi, trofi yang diraih ini bukan sahaja untuk diri sendiri dan keluarga, tetapi juga buat seluruh rakyat Malaysia, selain menjadi motivasi untuk kami terus berusaha lebih keras selepas ini,” katanya.
Dalam pada itu, jaguh para berbasikal Mohammad Yusof Hafizi Shaharuddin dan atlet para renang Lim Carmen, masing-masing meraih gelaran Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan.
“Memang saya terkejut dan tidak percaya kerana semua pesaing saya hebat-hebat seperti Bonnie (Bonnie Bunyau Gustin) dan Latif (Datuk Abdul Latif Romly), yang mempunyai nama besar serta meraih banyak kejayaan setiap tahun.

“Tahun lepas pun saya hanya menang di Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia di Brazil, jadi apabila datang hari ini sebagai calon pun saya sudah bersyukur. Bila diumumkan sebagai pemenang, memang saya sangat terkejut,” kata Mohamad Yusof yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak.
Pemenang bagi kategori Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan serta Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan masing-masing menerima piala, piala iringan, sijil penghargaan dan hadiah wang tunai RM20,000.
Bagi kategori Jurulatih Lelaki Kebangsaan, pengendali skuad sepak takraw negara Ahmad Jais Baharun dinobatkan selaku penerima anugerah, manakala Anugerah Jurulatih Wanita Kebangsaan pula menjadi milik Nor Hamizah Abu Hassan daripada sukan pencak silat.

Dominasi sukan sepak takraw berterusan apabila skuad sepak takraw berpasukan lelaki diumumkan sebagai pemenang Anugerah Pasukan Lelaki Kebangsaan.
Bagi Anugerah Pasukan Wanita Kebangsaan, pengiktirafan diberikan kepada Pasukan Wushu Duilian yang dibarisi trio Tan Cheong Min, Lee Jia Rong dan Pang Pui Yee.
Turut hadir bersama ialah Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari dan timbalannya Mordi Bimol, Presiden Majlis Olimpik Malaysia Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dan Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin.
Berikut senarai penuh penerima pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2025:
Olahragawan Kebangsaan: Chen Tang Jie (badminton)
Olahragawati Kebangsaan: Toh Ee Wei (badminton)
Olahragawan Paralimpik Kebangsaan: Mohammad Yusof Hafizi Shaharuddin (para berbasikal)
Olahragawati Paralimpik Kebangsaan: Lim Carmen (para renang)
Anugerah Khas: Allahyarham Datuk Hishamuddin Aun, Kelab Renang Ikan Bilis & Petronas
Anugerah Kepimpinan Sukan: Presiden Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan
Anugerah Pasukan Lelaki Kebangsaan: Sepak Takraw Berpasukan Lelaki
Anugerah Pasukan Wanita Kebangsaan: Pasukan Wushu Duilian (Tan Cheong Min, Lee Jia Rong, dan Pang Pui Yee)
Jurulatih Lelaki Kebangsaan: Ahmad Jais Baharun (sepak takraw)
Jurulatih Wanita Kebangsaan: Nor Hamizah Abu Hassan (pencak silat)
Anugerah Tokoh Sukan: Tiada Pemenang – Bernama