KUALA LUMPUR: Pemain golf negara Ashley Lau bangkit daripada permulaan hambar pada pusingan pembukaan semalam untuk mengetuai cabaran tempatan selepas pusingan kedua pada Kejuaraan LPGA Maybank 2024, hari ini.
Olimpian negara itu mencatat empat bawah par 68 untuk berkongsi kedudukan tempat ke-39 bersama empat pemain lain dengan jumlah dua hari, tiga bawah 141 di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur, Bukit Kiara di sini.
Selepas melakar catatan satu atas par 73 semalam, Ashley berjaya membenam enam birdie di lubang ketiga, keempat, keenam, kelapan, ke-10 dan ke-17 dan dua bogey di lubang kedua dan 12 untuk catatan 68.
“Ia satu permulaan yang amat perlahan bagi saya. Saya rasa tidak bermain dengan baik di sembilan lubang pertama tetapi berjaya dengan satu pukulan bawah par. Pukulan putt mula menjadi pada sembilan lubang kedua, dan saya amat gembira,” katanya.
Sementara itu, pemain amatur negara Mirabel Ting tidak dapat meneruskan prestasi cemerlangnya apabila hanya merakam tiga atas par 75 untuk berkongsi kedudukan ke-44 dengan jumlah catatan dua bawah par 142.
Semalam, pemain berusia 18 tahun itu memulakan penampilan sulung dalam Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA) dengan lima bawah 67 untuk berkongsi tempat ke-11.
Bagaimanapun, pemain kelahiran Sarawak itu kecewa dengan prestasinya hari ini selepas hanya mampu membenam dua birdie di lubang ke-15 dan 17.
“Keadaan hari ini lebih mencabar. Pukulan putt tidak masuk seperti yang diharapkan. Saya lakukan beberapa pukulan putt tetapi tiada birdie. Sangat kecewa dengan permainan hari ini,” katanya. – BERNAMA