
IRVINE, Amerika Syarikat: Tuan rumah bersama Piala Dunia, Amerika Syarikat (AS), tidak boleh terlalu ‘jujur’ ketika beraksi dan perlu memperkemaskan aspek permainan yang lebih licik menjelang perlawanan pembukaan menentang Paraguay, kata pemain tengah Cristian Roldan pada Selasa.
AS akan memulakan kempen mereka menentang pasukan berpengalaman dari Amerika Selatan itu pada Jumaat dan berdepan tekanan untuk muncul juara kumpulan yang turut dibarisi Australia dan Turkiye.
Selepas tewas kepada Jerman dalam perlawanan persahabatan pada Sabtu lalu, jurulatih Mauricio Pochettino menggesa anak buahnya supaya “belajar bermain di had sempadan peraturan,” dan Roldan mengulangi pandangan itu ketika kem latihan pasukan pada Selasa.
“Saya fikir itu satu aspek yang sememangnya perlu kami perbaiki,” katanya kepada AFP.
“Kami perlu lebih bijak dan memahami bahawa kadangkala sikap terlalu jujur menjadi kelemahan kepada kami.
“Kami perlu lebih bijak dalam mengawal permainan, cara melakukan kekasaran taktikal atau berada lebih lama di atas padang selepas dijatuhkan, jika perlu.”
AS pernah menentang Paraguay dalam perlawanan persahabatan pada November lalu. Walaupun AS menang 2-1, pertembungan sengit itu berakhir dengan pergaduhan pada masa kecederaan.
Australia dan Turkiye juga dijangka memberikan tentangan fizikal yang hebat kepada tuan rumah bersama itu. Namun begitu, kenangan perlawanan menentang Paraguay masih segar dalam ingatan pemain AS.
“Kami boleh mempelajari perkara seperti ini daripada negara lain, tetapi Paraguay sememangnya sangat mahir dalam aspek itu,” kata Roldan merujuk kepada gaya permainan lawan yang agresif dan penuh helah.
Menurutnya, AS perlu bertindak dengan bijak tanpa melampaui batas serta tidak mudah terpengaruh dengan corak permainan lawan.
“Adalah penting bagi kami untuk mengawal perlawanan dengan baik,” katanya.
Roldan, 31, merupakan antara pemain paling berpengalaman dalam skuad 26 pemain AS yang buat pertama kali menjalani latihan bersama di kem pangkalan pasukan pada Selasa.
Pemain tengah bertahan Seattle Sounders itu telah mengumpul 47 penampilan antarabangsa sejak membuat penampilan sulung pada 2017, namun tidak dijangka berada dalam kesebelasan utama ketika menentang Paraguay.
Bagaimanapun, beliau melihat peranannya sebagai pemain yang mampu meningkatkan intensiti permainan jika diperlukan dalam skuad AS yang kini memiliki lebih banyak kemahiran teknikal dan kreativiti di bahagian serangan berbanding pada edisi Piala Dunia sebelum ini.
“Kedengaran agak lucu untuk diperkatakan, tetapi saya perlu menjadi seperti ‘anjing pengawal’ di atas padang,” kata Roldan.
“Pada akhirnya, itulah yang membawa saya ke tahap ini, iaitu bermain dengan penuh intensiti dan memastikan semangat pasukan sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Jika saya tidak berada dalam kesebelasan utama, saya akan memikirkan bagaimana saya boleh membantu rakan sepasukan di luar padang atau ketika waktu rehat.
“Namun, saya benar-benar percaya bahawa intensiti permainan itulah yang membawa saya ke sini dan saya perlu terus mengekalkannya.” – AFP