AMERIKA SYARIKAT: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) mula
membenarkan penggunaan ubat Remdesivir yang masih dalam kajian untuk merawat
pesakit COVID-19 semasa kecemasan.
Ini merupakan ubat pertama yang didapati telah membantu sebilangan pesakit
untuk pulih dengan cepat ketika angka kematian akibat pandemik itu telah
membunuh lebih 237 ribu orang di seluruh dunia.
Pengumuman mengenainya dibuat Presiden AS, Donald Trump di White House
Jelasnya, kebenaran bagi penggunaan ubat itu dibuat Pentadbiran Makanan dan
Ubatan Amerika (FDA).
“Saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Gilead kini
mempunyai EUA (kebenaran penggunaan kecemasan) dari FDA untuk ubat Remdesivir
dan anda tahu ia adalah kerana ia mendapat banyak perhatian juga di surat
khabar dan media sejak akhir ini serta merupakan rawatan yang penting untuk
merawat pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospital.
“Ini sesuatu yang saya bincangkan bersama dengan Dr Stephen Hahn (Pesuruhjaya
FDA) dan Dr Fauci. Saya juga berbincang bersama Dr Debra Birx mengenainya.
“Ini adalah situasi yang menyakinkan. Kami telah bekerjasama
dengan pasukan di FDA, NIH dan Gilead untuk menerajui perkongsian awam-swasta
untuk melaksanakannya dengan cepat,” katanya.
Kata Trump, pengumuman itu dibuat selepas kajian awal menunjukkan ubat
Remdesivir memendekkan waktu pemulihan sehingga 31 peratus atau purata kira-kira
empat hari bagi pesakit Covid-19 yang dirawat di hospital.
Kajian ke atas 1,063 pesakit yang diberikan ubat Remdesivir menunjukkan, purata
pesakit dibenarkan keluar dari hospital adalah 11 hari, berbanding 15 hari
sebelum ini, untuk pesakit rawatan biasa.
Ubat ini juga dilaporkan dapat mengurangkan kematian, namun kajian menyeluruh
belum dibuat mengenainya.
Ubat Remdesivir dihasilkan syarikat farmaseutikal AS, Gilead Sciences itu
bagaimanapun masih lagi belum menerima kelulusan rasmi bagi penggunaannya.-AFP
PIC CAP
Jelas Trump, kebenaran bagi penggunaan ubat itu dibuat Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika (FDA). – AFP