AMERIKA SYARIKAT: Dalam masa tiga bulan, warga Amerika Syarikat (AS) berdepan tiga situasi buruk.
Tiga situasi itu ialah Covid-19, kadar pengangguran yang tinggi dan tunjuk perasaan akibat kematian lelaki warga kulit hitam, George Floyd.
Ini memberikan tekanan ke atas minda warga AS sendiri.
Menurut laporan AFP, warga AS kini sangat tidak gembira dengan keadaan negara mereka.
Penyelidik Norc Center for Public Affairs Research, Jennifer Benz berkata tinjauan itu mendapati rakyat juga percaya, Presiden AS Donald Trump menjadikan situasi semasa lebih buruk.
“Tinjauan tersebut mendapati, hanya 24 peratus warga AS menyatakan negara berkenaan di landasan yang betul.
“Ini adalah berbanding 42 peratus pada Mac. Apa yang menyedihkan adalah berkenaan masa depan, dua pertiga daripada yang ditinjau tidak mempunyai harapan keadaan akan bertambah baik bergerak ke hadapan.
“Keadaan ini dijangka berterusan apabila semakin ramai orang merasa pesimis tentang hala tuju negara ini,” katanya.
Dalam masa sama, jelasnya, 64 peratus warga AS menyatakan Trump menjadikan negara itu lebih berpecah belah.
Tinjauan juga mendapati lebih separuh warga AS percaya Trump menjadikan keadaan semakin buruk selepas kematian George Floyd.
“Kita dapat melihat bagaimana majoriti orang di negara ini tidak setuju dengan cara Trump menguruskan hubungan kaum.
“Mereka tidak bersetuju dengan cara dia menguruskan Covid-19. Ini adalah dua perkara yang berada dalam minda orang.
“Mereka melihat Trump sebagai kuasa yang memecahkan negara ini, atau sekurang-kurangnya tidak menyatukan negara,” jelasnya.Namun kini, kadar sokongan kepada Trump kekal stabil pada 39 peratus.Ia sedikit rendah berbanding 43 peratus pada awal pandemik.-AFP