LONDON: Pengendali Arsenal, Mikel Arteta mengakui bimbang ke atas kecederaan dialami pemain sayapnya, Bukayo Saka biarpun pasukan meraih kemenangan 5-1 ke atas Crystal Palace.
Saka yang dibawa keluar pada pertengahan babak pertama, dilihat menahan kesakitan meninggalkan Selhurst Park selepas perlawanan yang menyaksikan the Gunners semakin mengurangkan defisit kepada tiga mata dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool.
“Dia (Saka) merasai sesuatu di bahagian hamstringnya,” kata Arteta.
“Dia tidak boleh meneruskan perlawanan. Dia perlu diperiksa, jadi saya agak bimbang mengenai perkara itu.
“Ia sangat sukar untuk memberi gambaran ketika ini. Mereka sudah menjalankan ujian terhadapnya tetapi sangat sukar untuk berkata mengenai tahap kecederaannya.
“Malangnya dengan jumlah perlawanan yang kami bermain, setiap tiga hari dengan jadual ini, ia sebenarnya tidak mengejutkan saya tetapi pasukan akan bertindak balas mengenainya.”
Arsenal selepas ini dijadual bertemu pasukan yang sedang bergelut, Ipswich pada 28 Disember ini, Brentford pada 2 Januari dan Brighton, 5 Januari. – AFP