LONDON: Arsenal kembali membina momentum selepas melalui fasa sukar tetapi perlu mengekalkan prestasi cemerlang mereka, kata pengurus Mikel Arteta selepas pasukannya membelasah West Ham United 5-2.
Kemenangan itu melonjakkan Arsenal kembali ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) dan mengesahkan mereka berada di tahap terbaik selepas empat perlawanan liga tanpa kemenangan sebelum rehat aksi antarabangsa bulan ini.
Gabriel, Leandro Trossard, kapten Martin Odegaard, Kai Havertz dan Bukayo Saka masing-masing menjaringkan gol pada separuh masa pertama yang penuh aksi di Stadium London, membolehkan Arsenal mengumpul 25 mata, enam mata di belakang Liverpool yang akan menjadi tuan rumah kepada penyandang juara, Manchester City di Anfield awal pagi esok.
“Iya, kami mendapat momentum. Saya rasa kami sudah mendapat rentak, ada keazaman sebenar, dan menang berturut-turut menentang tiga lawan adalah sesuatu yang hebat,” kata Arteta kepada wartawan, selepas pasukannya mengalahkan Nottingham Forest 3-0 Sabtu lalu dan kemudian menewaskan Sporting 5-1 di tempat lawan dalam Liga Juara-Juara.
“Kami akan menikmati malam ini dan menonton perlawanan bola sepak yang hebat esok. Kami berada dalam saat yang sangat baik sekarang.
“Tetapi dalam bola sepak, kita mesti sentiasa berjaga-jaga dan bersedia dengan cara terbaik,” tambah pengurus kelahiran Sepanyol itu, yang pasukannya akan menjadi tuan rumah kepada Manchester United dalam aksi EPL Khamis ini.
Kembalinya kapten Odegaard selepas kecederaan buku lali yang lama memberi dorongan besar kepada Arsenal, manakala Saka kelihatan cergas semula apabila berehat daripada tugasan skuad England kerana kecederaan kecil.
Selain sepakan penalti, Saka turut menyumbang dua bantuan gol pada hari Sabtu, menjadikan jumlahnya kepada 10 dalam 13 perlawanan musim ini, empat lebih banyak daripada Mohamed Salah.
“Luar biasa. Sebab ia adalah perkara paling sukar dilakukan dalam bola sepak, jadi seorang pemain yang boleh memberikan impak pada saat-saat penting seperti itu, anda tahu, nilainya sangat besar,” kata Arteta mengenai Saka.
Saka sukar dikawal pada separuh masa pertama terutama ketika Arsenal bermain dengan penuh keyakinan menentang seteru London mereka.
“Hari ini adalah satu persembahan yang hebat daripada kami, dan kami menjaringkan banyak gol – kami sedang bermain bola sepak yang baik sekarang dan kami mahu teruskan seperti ini,” katanya.
“Kami kembali kepada prestasi terbaik. Kami kelihatan lancar dan dinamik, dan kami semua sedang menikmatinya sekarang.
“Ia adalah minggu yang hebat untuk kami. Kami telah membina banyak momentum dan kami mahu meneruskannya untuk perlawanan seterusnya.”