LONDON: Arsenal merapatkan jurang dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool kepada enam mata ketika Gabriel Jesus meneruskan persembahan mantapnya apabila menang 3-1 di Brentford awal pagi tadi.
Pasukan kendalian Mikel Arteta dikejutkan dengan gol babak pertama pada minit ke-13 menerusi Bryan Mbeumo di Stadium Komuniti GTech.
Namun Arsenal enggan ditewaskan dalam cuaca hujan dan berangin di barat London apabila Jesus menyamakan kedudukan pada minit ke-29.
Ia gol keenam penyerang Brazil itu dalam empat aksi terakhirnya selepas dia hanya menyumbat sekali dalam 20 perlawanan pertamanya musim ini.
Mikel Merino (minit ke-50) dan Gabriel Martinelli (m-53) meledak dalam tempoh singkat selepas rehat untuk memastikan Arsenal melonjak ke tangga kedua di depan Nottingham Forest.
“Kami menang di stadium sukar menentang lawan yang bagus. Rekod mereka di sini luar biasa dan apabila anda ketinggalan 1-0 ia menjadikan keadaan lebih sukar,” kata Arteta.
“Terutamanya apabila anda ketinggalan satu gol awal dalam perlawanan ini ia bagaikan satu gunung yang perlu didaki, tetapi kami tetap bersabar.
“Kami perlu menangani situasi itu secara emosi. Kami amat klinikal dalam kotak penalti. Persembahan Jesus amat penting.”
Tidak termasuk kemenangan besar 5-1 ke atas Crystal Palace, The Gunners kurang memukau dalam empat aksi terakhir liga selepas seri dengan Fulham dan Everton diikuti kemenangan tipis ke atas pasukan bawahan Ipswich.
Namun perlawanan pertama Arsenal pada 2025 membuktikan mereka sedia bersaing mencabar kejuaraan bersama Liverpool, yang beraksi kurang satu perlawanan berbanding kelab utara London itu.
Naib juara di tangan Manchester City bagi dua musim terakhir, Arsenal tidak kalah dalam 12 perlawanan bagi semua pertandingan, kebangkitan semula yang kini termasuk empat kemenangan berturut-turut.
“Kami boleh memenangi perlawanan kami berikutnya dan lihat apa yang akan berlaku. Ia bukannya terletak di bahu kami,” kata Arteta mengenai usaha mengejar Liverpool.
Dengan Bukayo Saka diketepikan selama beberapa bulan kerana kecederaan hamstring, pemain berusia 17 tahun Ethan Nwaneri melakukan penampilan pertama liga bersama Arsenal.
Kai Havertz tidak beraksi selepas menjaringkan gol kemenangan Arsenal menentang Ipswich tetapi Jesus memastikan ketiadaan pemain Jerman itu tidak dirasai.
Arsenal tidak kalah satu pun daripada 10 pertembungan musuh tetangga London dalam liga pada 2024 dan mereka mengekalkan rekod cemerlang di ibu negara sesudah terselamat daripada tamparan awal. – AFP