LUBOK ANTU: Sifat agresif dipamerkan oleh seekor kera liar di kebun dalam kawasan Kampung Empit di sini secara tidak langsung telah menimbulkan bimbang terhadap diri pemiliknya di situ.
Bimbang akan keselamatan diri, pemilik kebun itu bertindak menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Lubok Antu untuk menangkap haiwan liar itu dalam kadar segera, baru-baru ini.
“Pengadu menghubungi kami dan memberitahu seekor kera liar berkeliaran di kebun milik lalu menunjukkan sifat agresif sambil mengambil beberapa barangan miliknya di dalam rumah kebun.
“Bertindak atas panggilan, pihak kami segera mengerah empat anggota yang diketuai oleh Noorliza Jenny Kawin untuk melakukan kerja menangkap haiwan liar berkenaan,” kata pegawainya, Leftenan (PA) Desem Sameul.
Setibanya di lokasi, para petugas kata beliau telah berjaya menangkap kera liar berkenaan dengan menggunakan penjerut dan dibawa pulang ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) agensi mereka di sini untuk dikurung.
Kera liar berkenaan, katanya, telah pun dilepaskan kembali ke habitat liar yang terletak jauh dari penempatan penduduk setelah kes penemuannya dilaporkan kepada pihak Jabatan Perhilitan.
Pihak APM justeru, menasihatkan orang ramai untuk menghubungi pihaknya di talian 083-584639 atau talian kecemasan 999 bagi melaporkan kehadiran haiwan liar di penempatan masing-masing bagi tujuan tindakan susulan.
Oleh Valentine Ngumbang