Ops Vulture: Polis dan Majlis Daerah Bau tanggalkan 51 sepanduk iklan ‘Ah Long’ haram

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
ANGGOTA Polis Daerah Bau bersama kakitangan Majlis Daerah Bau menanggalkan sepanduk iklan pemberi pinjaman wang tidak berlesen dalam Ops Vulture di sekitar Bau, pagi tadi.

BAU: Sebanyak 51 sepanduk iklan pemberi pinjaman wang tidak berlesen (ah long) yang dipasang secara haram di kawasan awam berjaya ditanggalkan dalam Ops Vulture yang dijalankan Polis Daerah Bau dengan kerjasama Majlis Daerah Bau, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A. Rahman berkata, operasi yang bermula seawal 10.30 pagi itu melibatkan kawasan Taman Siniawan Villa, Pekan Siniawan, Taman Siniawan dan Jalan Kuching-Bau.

Menurut beliau, semua sepanduk terbabit dipasang pada tiang elektrik, papan tanda lorong perumahan serta pokok di kawasan berkenaan.

SEBANYAK 51 sepanduk iklan ah long yang dipasang secara haram pada tiang elektrik, papan tanda dan pokok berjaya ditanggalkan dalam Ops Vulture yang dijalankan Polis Daerah Bau dengan kerjasama Majlis Daerah Bau.

Dalam temu bual bersama Utusan Sarawak, Mohd Haide berkata, daerah Bau, seperti banyak daerah lain, terus berdepan masalah lambakan sepanduk iklan ah long yang dipasang secara haram.

Katanya, pihak polis memandang serius kegiatan berkenaan kerana ia bukan sahaja mempengaruhi orang ramai untuk mendapatkan pinjaman daripada ah long, malah berpotensi mencetuskan pelbagai jenayah lain.

Beliau turut memberi amaran bahawa Polis Daerah Bau sedang memantau individu yang memasang sepanduk iklan haram tersebut dan mereka yang ditahan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 3 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336).

Mohd Haide menasihatkan orang ramai supaya tidak berurusan dengan pemberi pinjaman wang tidak berlesen kerana ia boleh mendedahkan mereka kepada pelbagai risiko seperti ugutan, gangguan dan penipuan.

“Orang ramai disaran mendapatkan perkhidmatan kewangan daripada institusi atau pemberi pinjaman yang berdaftar serta sah di sisi undang-undang,” katanya.

ANGGOTA penguat kuasa menurunkan sepanduk iklan pemberi pinjaman wang tidak berlesen yang dipasang di kawasan awam dalam Ops Vulture di Bau.

Beliau berkata, di Kuching, tindakan terhadap iklan haram turut boleh diambil mengikut undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan, termasuk Undang-Undang Kecil Bandar Raya Kuching Utara (Iklan) bagi kawasan di bawah bidang kuasa Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Undang-Undang Kecil Bandar Raya Kuching Selatan (Iklan) bagi kawasan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), serta Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan (Iklan) yang dikuatkuasakan oleh Majlis Perbandaran Padawan (MPP).

Peruntukan undang-undang kecil tersebut memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan untuk menurunkan iklan haram, mengesan nombor telefon yang dipaparkan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi tujuan penyekatan, selain mengeluarkan kompaun yang lazimnya bermula pada kadar RM250 bagi setiap sepanduk.

Oleh Connie Chieng