Deschamps akui Perancis kecewa, persoal mutu pengadilan

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
KETUA jurulatih Perancis, Didier Deschamps, memberi reaksi kecewa di kawasan teknikal ketika aksi separuh akhir kejohanan bola sepak Piala Dunia 2026 antara Perancis dan Sepanyol berlangsung di Stadium Dallas, Arlington, pada 14 Julai 2026. Foto AFP

ARLINGTON, Amerika Syarikat: Ketua jurulatih Perancis, Didier Deschamps, mengakui para pemainnya amat kecewa selepas tewas kepada Sepanyol dalam aksi separuh akhir Piala Dunia pada perlawanan 3.00 pagi tadi (waktu Malaysia), sebelum mempersoalkan mutu pengadilan pengadil dari El Salvador, Ivan Barton.

Pasukan bimbingan Deschamps sebelum ini mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan apabila meledak 16 gol dalam enam perlawanan untuk mara ke separuh akhir, sekali gus mengundang perbandingan dengan antara pasukan terbaik dalam sejarah Piala Dunia.

Bagaimanapun, impian Perancis untuk merangkul kejuaraan Piala Dunia buat kali ketiga berkecai selepas tunduk kepada persembahan mantap Sepanyol, sekali gus menyaksikan Deschamps, yang bakal melepaskan jawatan selepas kejohanan ini, sukar mencari penjelasan terhadap kekalahan tersebut.

KETUA jurulatih Perancis, Didier Deschamps, memerhatikan keadaan sebelum perlawanan separuh akhir Piala Dunia FIFA 2026 antara Perancis dan Sepanyol di Stadium Dallas pada 14 Julai 2026 di Arlington, Texas. Foto AFP

“Sudah tentu kami amat kecewa,” kata Deschamps sejurus tamat perlawanan di Stadium AT&T, Arlington, Texas.

“Para pemain amat kecewa kerana kami hadir dengan cita-cita yang tinggi. Namun begitu, kami juga perlu bersikap realistik dan mengakui bahawa hari ini kami sedikit ketinggalan dari segi teknikal berbanding pasukan yang berjaya menguasai permainan.

“Namun, pertama sekali kesalahan itu berpunca daripada kami sendiri. Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa,” katanya.

Dalam pada itu, Deschamps turut mempersoalkan keputusan Barton yang menghadiahkan sepakan penalti awal kepada Sepanyol selepas Lucas Digne mengasari Lamine Yamal pada babak pertama.

“Saya ingin mengemukakan satu soalan yang bersifat provokatif, tetapi saya tidak akan menjawabnya,” katanya.

“Adakah pengadil itu benar-benar berada pada tahap yang diperlukan untuk mengendalikan perlawanan separuh akhir Piala Dunia?

“Dan saya tidak mengatakan perkara ini hanya kerana kami tewas hari ini. Terdapat beberapa situasi yang boleh dipersoalkan. Memang terdapat juga keputusan yang memihak kepada kami,” katanya tanpa mengulas lanjut. – AFP