

SARATOK: Tindakan pantas Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok berjaya menangani kehadiran seekor ular sawa batik yang ditemui di Kampung Bunga Raya, sekali gus memastikan keselamatan penduduk setempat berada dalam keadaan terkawal.
Menurut Pegawai APM Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 1.23 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Skuad Alpha digerakkan ke lokasi kejadian seminit kemudian.
Beliau berkata, pasukan tersebut tiba di lokasi dalam tempoh tiga minit dan segera berhubung dengan pengadu bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kedudukan reptilia berkenaan yang dilihat berhampiran sebuah generator di kawasan bengkel bot milik penduduk.
“Pengadu memaklumkan terlihat kelibat ular tersebut ketika sedang mengemas bengkel, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan di kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum operasi pencarian dimulakan, ketua skuad telah mengarahkan semua anggota memakai peralatan perlindungan diri (PPE) sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Hasil pemeriksaan selama beberapa minit, pasukan berjaya menangkap seekor ular sawa batik sepanjang sekitar 0.9144 meter menggunakan teknik menyepit dengan peralatan khas yang dibawa ke lokasi.
Operasi yang melibatkan tiga anggota itu selesai sepenuhnya pada 1.33 petang.
Oleh Adi Safarman