LIMBANG: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berharap kerajaan dapat menambah baik termasuk mengekalkan kadar elaun khidmat khas atau elaun khidmat kontrak (EKK) pegawai dan anggotanya pada pembentangan Belanjawan 2025, Oktober ini.
Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Datuk Aminurrahim Mohamed berkata ketika ini APM menerima RM140 juta setahun untuk pembayaran elaun kepada pegawai-pegawai dan anggota-anggotanya di seluruh negara.
“Jadi harapan untuk bajet ini kelak adalah mengekalkan elaun yang di panggil elaun khidmat khas ataupun elaun khidmat kontrak (EKK).
“Pada ketika ini APM menerima lebih kurang RM140 juta setahun dan kita harapkan perkara itu terus kekal dan ditambahbaik,” katanya kepada media pada lawatan kerja rasmi di Pejabat APM Limbang pada Ahad.
Turut sama ialah Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang Kapten (PA) Bonnie Madisun.
Jelasnya lagi kerajaan juga meluluskan sebanyak 302 jawatan kontrak daripada 1,501 yang dipohon jabatan itu sebelum ini.
Katanya dengan penambahan penjawatan di bawah APM itu, setiap pegawai dan anggota perlu memperkasakan lagi peranan mereka dengan memberi perkhidmatan terbaik dan berkhidmat secara sukarela kepada masyarakat.
Katanya, selepas lebih tujuh dekad ditubuhkan APM kini bukan hanya berkhidmat dalam negara malah menempa nama di persada antarabangsa sebagai agensi menyelamat berkebolehan ketika bencana.
Oleh Adeng Edrus