BETONG, 27 Oktober: Kesiapsiagaan menghadapi bencana serta pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Bahagian Betong terus diperkukuh menerusi pelaksanaan Latih Amal dan Simulasi Pengurusan PPS 2026 Peringkat Bahagian Betong.
Menurut Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Betong, satu sesi jemputan bagi pelaksanaan program itu diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Kebajikan Masyarakat Betong, semalam.
Program berkenaan bertujuan meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta memperkukuh penyelarasan dan kerjasama antara agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana, khususnya ketika mengendalikan PPS untuk menempatkan mangsa yang terjejas.
Dalam sesi itu, APM Daerah Betong turut menyampaikan taklimat mengenai pelaksanaan program berkenaan yang disampaikan oleh Leftenan Muda Pertahanan Awam (PA) Alice Ambrose.
Taklimat tersebut merangkumi penerangan mengenai penglibatan dan peranan APM dalam pengurusan bencana, termasuk penyelarasan tugas dengan agensi berkaitan bagi memastikan pengurusan PPS berjalan secara teratur, cekap dan berkesan.
Kerjasama antara agensi penting bagi memastikan tindakan dapat diselaraskan dengan baik, terutama ketika berhadapan situasi kecemasan yang memerlukan pemindahan penduduk ke PPS.
Pelaksanaan latih amal dan simulasi itu diharap dapat meningkatkan kefahaman semua pihak terhadap prosedur pengurusan PPS, sekali gus mempertingkatkan kecekapan dalam menyalurkan bantuan dan memberikan perlindungan kepada mangsa bencana.
Usaha itu turut menekankan kepentingan persediaan awal dan kerjasama bersepadu antara agensi bagi memastikan keselamatan serta kebajikan penduduk di Bahagian Betong terus diberi perhatian ketika berlaku bencana.
Oleh Adi Safarman




