SIBU: Seorang mangsa kebakaran di Kampung Hilir lewat petang semalam hanya sempat menyelamatkan dokumen penting memandangkan api marak terlalu cepat dalam kejadian yang memusnahkan 17 kediaman.
Abu Bakar Junit, 55, berkata dia yang ketika itu hendak menunaikan solat Maghrib cemas apabila terhidu bau asap dan kemudian diberitahu anak saudaranya rumah jiran mereka terbakar.
“Apabila saya menjenguk keluar menerusi tingkap saya lihat rumah jiran terbakar. Api merebak terlalu cepat dan pada masa sama angin kencang dan kesemua 11 ahli keluarga saya bergegas keluar menyelamatkan diri apabila api mula merebak ke rumah saya.
“Saya hanya sempat mengambil barang-barang dan dokumen-dokumen yang dapat dicapai dan terus keluar,” katanya kepada pemberita malam tadi.
Beliau berkata ada juga beberapa dokumen penting lain, buku-buku dan bahan untuk persiapan anak saudaranya untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini gagal diselamatkan.
Kebakaran itu turut memusnahkan rumah pusaka keluarga penyampai radio SIBUFM Iskandar Joni.
“Kesemua 190 keping sijil termasuk sijil lahir, sijil akademik dan sijil berkaitan kerjaya saya musnah,” katanya sambil menambah hanya ibu serta beberapa ahli keluarga berada di rumah ketika kejadian.
Meskipun sedih rumah berusia 78 tahun itu ranap Iskandar reda dengan ketentuan Allah dan bersyukur kesemuanya penghuni selamat.
Kejadian itu menyebabkan 156 penghuni tinggal sehelai sepinggang.
Mangsa yang terlibat kini ditempatkan di Surau Darul Ma’wa Kampung Baharu dan ada menumpang di rumah saudara mara.
Mereka turut menerima bantuan awal daripada pihak Tabung Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sibu.
Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu Andy Alie berkata punca kebakaran merebak cepat kerana struktur rumah diperbuat daripada kayu serta jarak agak rapat di antara setiap rumah di samping angin agak kencang dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Beliau berkata sebaik menerima panggilan 6.43 petang, pasukan keluaran operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral, BBP Sungai Merah dan BBP Sibu Jaya dengan keseluruhan kekuatan 25 anggota serta jentera segera digerakkan ke lokasi.
Kebakaran dapat dikawal kira-kira 7.57 malam dan operasi ditamatkan pada 9.58 malam.– BERNAMA