
SIBU: Anugerah Alam Sekitar Premier Sarawak (PSEA) Ke-11 (2023/2024) menjadi pembakar semangat kepada Majlis Perbandaran Sibu (MPS) untuk mewujudkan persekitaran yang lebih hijau, bersih dan mampan untuk Sibu pada masa hadapan.
Pengerusi MPS, Clarence Ting berkata, anugerah tersebut adalah pengiktirafan kerajaan kepada usaha pihak majlis dalam memberikan perhatian yang serius terhadap isu alam sekitar selama ini.
“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli majlis kerana mereka telah bekerja keras dalam semua program berkaitan alam sekitar yang telah kami laksanakan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
MPS muncul Johan dalam kategori Pihak Berkuasa Tempatan (Majlis Bandaraya & Perbandaran) pada Anugerah Alam Sekitar Premier Sarawak (PSEA) Ke-11 (2023/2024).
Anugerah itu disampaikan semasa majlis yang diadakan di salah sebuah hotel di Kuching pada 22 Januari 2025, di mana MPS menerima sijil, trofi, dan hadiah wang tunai RM10,000.
Menurutnya, anugerah ini diadakan dua tahun sekali, dan sebanyak enam majlis lain bersaing, termasuk Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Perbandaran Padawan (MPP), MPS, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), dan Majlis Bandaraya Miri (MBM).
Katanya, kejayaan MPS dalam PSEA adalah hasil daripada inisiatif alam sekitar yang meluas bertujuan untuk menjaga alam sekitar dan memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sampah, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Antara inisiatif utama yang diketuai oleh MPS ialah Earth Hour dan Love Earth Day, Meningkatkan kesedaran tentang penjimatan tenaga, Program Kitar Semula dan Sisa kepada Kekayaan, Menggalakkan pengurusan sisa yang mampan, Kitar Semula dan Pengkomposan Sisa Elektronik, Menggalakkan pelupusan e-waste dan sisa organik dengan betul, Pengeluaran Enzim Sampah dan Penanaman Pokok, Meningkatkan pemuliharaan alam sekita, Penglibatan Komuniti dengan NGO dan Memperkukuh perkongsian untuk kemampanan,” kata beliau.
Ting mengucapkan terima kasih kepada penduduk Sibu, pemimpin masyarakat, agensi kerajaan, dan NGO atas sokongan tidak berbelah bahagi mereka, sambil menekankan bahawa anugerah itu adalah milik semua orang di Sibu.
“Pengiktirafan ini adalah untuk kita semua. Kami akan meneruskan kerjasama dengan semua pihak berkepentingan untuk mewujudkan persekitaran yang lebih hijau, bersih dan lebih mampan untuk Sibu pada masa hadapan,” katanya.
Turut hadir ialah timbalannya, Iskandar Rosely serta yang lain.
Oleh Akun Giman