KUALA LUMPUR: Majlis Anugerah Anak Sarawak kali ke-10 pada 12 Mei ini akan memberi penghormatan kepada individu dan organisasi luar biasa yang membawa Sarawak ke era acara perniagaan yang paling gemilang menerusi pendekatan minat, komitmen dan pemikiran ke hadapan mereka.
Business Event Sarawak (BESarawak) menjelaskan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan menjadi tetamu kehormat dalam acara berprestij itu yang akan diadakan di Imperial Hotel Kuching.
“Selain menjajarkan dengan sokongan Sarawak terhadap legasi acara perniagaan, tema ini adalah sambutan bagi kekukuhan kebangkitan semula industri ini daripada pascapandemik,” menurutnya dalam kenyataan.
BESarawak memaklumkan antara detik kemuncak Anugerah Anak Sarawak tahun ini ialah Anugerah Legasi Sarawak, yang merupakan kategori terbaharu untuk mengiktiraf konvensyen yang memberi tumpuan kepada agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) selain mengutamakan legasi sebagai hasil jangka masa panjangnya.
“Satu lagi segmen utama yang dinanti-nantikan ialah pelancaran Program Duta Legasi Business Events Sarawak (BESLegacy) yang pertama di Malaysia, sebuah komuniti acara perniagaan yang berpengaruh dan penyokong legasi untuk memperkukuh tujuan matlamat membangunkan transformasi sosial dan ekonomi melalui legasi acara perniagaan,” menurutnya.
Kumpulan duta pertama akan diumumkan semasa pelancaran program itu, tambahnya.
BESarawak menjelaskan jawatankuasa penghakiman tahun ini terdiri daripada ahli persatuan antarabangsa, Persatuan Pengurusan Konvensyen Profesional (PCMA), Persatuan Kongres dan Konvensyen Antarabangsa (ICCA), Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Persekutuan Pelancongan Sarawak (STF) serta Persatuan Penganjur dan Pembekal Konvensyen dan Pameran Malaysia (MACEOS).
Sementara itu, Abang Johari berkata, acara perniagaan adalah penting dalam melaksanakan Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 dan menjadikan Sarawak sebagai destinasi berkembang maju yang menikmati kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kemampanan alam sekitar menjelang 2030.
“Berasaskan tumpuan kita kepada impak legasi acara perniagaan, sektor ini sangat berkemampuan untuk menghasilkan legasi ekonomi yang menyokong kadar pertumbuhan yang disasarkan pada 8.0 peratus setahun dan legasi sosial yang mengurangkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar,” katanya.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pula berkata, Anugerah Anak Sarawak kali terakhir diadakan pada lima tahun lepas dan terhenti selepas tu ekoran pandemik Covid-19.
“Sudah lima tahun sejak kali terakhir kita menganjurkan acara ini berikutan pandemik, jadi kita sangat teruja untuk meraikan pencapaian komuniti acara perniagaan.
“Daya tahan, kreativiti dan inovasi telah ditunjukkan oleh industri dalam menghadapi cabaran yang belum pernah berlaku sebelum ini selain peluang membawa lebih dua juta ketibaan pelancong dan lebih RM3.87 juta dari segi terimaan perbelanjaan pelancongan pada 2022.
“Tahun ini, kita menyasarkan tiga juta pelancong dan RM7.25 bilion terimaan perbelanjaan pelancongan, justeru, kita percaya acara perniagaan akan menyumbang kepada sebahagian besar daripada ketibaan,” katanya.
Mengulas tema ‘Passion Inspires Legacies’ (Semangat Keinginan Pencetus Legasi) Pengerusi BESarawak Datuk Seri Abang Abdul Karim Tun Openg berkata: “Semangat keinginan adalah pendorong yang memacu kita mengejar matlamat, gigih mengharungi cabaran dan memastikan impak yang berkekalan.
“Dalam acara perniagaan misalnya, semangat ini sering kali membawa kepada inovasi dan kemajuan yang merupakan teras kepada usaha kami. Oleh itu, kami berharap agar anugerah pada tahun ini akan memberi inspirasi kepada penggiat dalam sektor ini untuk mencapai kecemerlangan manakala mereka di luar sektor pula mempertimbang untuk menjadikan acara perniagaan sebagai mekanisme legasi masing-masing.”
BESarawak turut mengumumkan barisan pencalonan bagi Anugerah Anak Sarawak.
Mereka yang dicalonkan bagi Anugerah Pemimpin Muda ialah Hii Mein Chieing daripada Borneo Plux Sdn Bhd; Chai Lee Kee daripada Spiral Events Management Sdn Bhd dan Dayang Fatin Nurhazziqah (Koperasi Pro Belia Inovasi).
Anugerah Kewartawanan – Cetak/Dalam Talian membariskan calon seperti Vicky Koffa daripada Boardroom Global; Priscilla Tawie Sulok (New Sarawak Tribune) dan Puvaneswary S. Selvadurai daripada TTG Association.
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan TVS (Sarawak Media Group) merupakan calon bagi Anugerah Kewartawanan – Penyiaran.
Bagi Anugerah Konvensyen Kecemerlangan, calon-calonnya adalah Forum Antarabangsa Kelapan Mengenai Biopemprosesan Industri 2019 (Curtin University Malaysia); BRITMA – Malaysia International Congress on Tropical Medicine 2019 (SEGI University – Kampus Klinikal Sibu) dan Persidangan Antarabangsa ke-13 mengenai Psikopatologi Kanak-kanak dan Remaja 2018 (University Roehampton London).
Calon bagi Anugerah Mesyuarat Korporat dan Kecemerlangan Insentif adalah Spiral Eventz Management Sdn Bhd, Cat City Holidays Sdn Bhd, Golden Point Leisure dan MICE Holiday Sdn Bhd.
Anugerah Kecemerlangan Lokasi Mesyuarat menyaksikan persaingan antara Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), The Waterfront Hotel dan Imperial Hotel Kuching.
Kategori Produk dan Perkhidmatan Cemerlang pula membariskan calon iaitu CPH Travel Agencies Sdn Bhd (Sarawak); T.E.E.M Event & Exhibition Management Sdn Bhd dan Deckworks Events & Entertainment.
Anugerah Pencapaian Cemerlang menyenaraikan calon seperti Profesor Dr Mohd Railli Suhailli dari Universiti SEGi – Kampus Klinikal Sibu; Datu Dr Lulie Joshua Melling mewakili Institut Penyelidikan Tropika (TROPI) Sarawak dan Goh Ah Seng daripada Restoran Hoi Tin Lau.
Anugerah Legasi Sarawak yang baru diperkenalkan menyaksikan persaingan antara AsiaFlux 2022 (TROPI); Persidangan Pertama Pendidikan Dalam Ekosistem Digital 2019 (Universiti Teknologi Mara Kampus Samarahan) dan Persidangan Kualiti Udara Lebih Baik 2018 (Universiti Malaysia Terengganu). – Bernama