Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Antara politik mandat, kuasa wilayah dan ujian penyampaian
  • KOLUMNIS

Antara politik mandat, kuasa wilayah dan ujian penyampaian

Utusan Sarawak 7 hours ago

PILIHAN raya negeri (PRN) Sarawak akan datang bukan sekadar pilihan raya negeri biasa. Ia ialah medan menguji semula mandat rakyat dengan kepimpinan kontemporari.

Optik dijangka menjadi penilaian ialah penilaian terhadap mandat besar yang telah diberikan selama ini benar-benar diterjemahkan kepada pembangunan yang boleh dirasai, bukan sekadar dinikmati dalam angka, ucapan rasmi dan naratif kuasa.

Dalam politik Sarawak, kestabilan sering dijadikan modal utama. Ia dijenamakan sebagai syarat pembangunan, jaminan hubungan baik dengan Persekutuan dan asas untuk memperjuangkan hak negeri.

Dari satu sudut, hujah ini ada kekuatan. Sarawak memerlukan kerajaan yang stabil kerana wilayahnya luas, struktur masyarakatnya majmuk dan agenda pembangunannya kompleks.

Namun, kestabilan tidak boleh menjadi alasan untuk melemahkan semak imbang. Jika kestabilan berubah menjadi dominasi tanpa akauntabiliti, pilihan raya hanya menjadi upacara mengesahkan kuasa, bukan medan menilai prestasi.

Kitaran kuasa

Apabila pilihan raya berlangsung secara rasional, pengundi diminta memilih kesinambungan semata-mata, atau memilih kesinambungan yang disertai keberanian menuntut hasil, integriti dan kecekapan? Sarawak mempunyai kekuatan politik yang unik.

Identiti wilayah, tuntutan MA63, hak hasil minyak dan gas, kuasa pentadbiran, serta sentimen “Sarawak First” membentuk imaginasi politik yang kuat. Naratif ini berkesan kerana ia menyentuh maruah negeri dan rasa sejarah rakyat Sarawak.

Selepas sekian lama dilihat sebagai wilayah yang banyak menyumbang tetapi tidak selalu menerima pulangan setimpal, tuntutan Sarawak terhadap autonomi lebih besar adalah sah dan mempunyai asas moral serta perlembagaan.

Namun, politik hak wilayah tidak boleh berhenti sebagai retorik elit. Rakyat tidak boleh terus diminta menyokong agenda besar tanpa melihat kesannya dalam kehidupan harian.

Jika hak Sarawak diperkukuh, rakyat berhak bertanya, berapa buah sekolah daif yang telah dibaiki, jalan mana yang siap, kampung mana mendapat air bersih, klinik mana dinaik taraf, berapa ramai anak tempatan mendapat pekerjaan bergaji wajar, dan sejauh mana hasil negeri mengurangkan jurang bandar-pedalaman?

Di sinilah perjuangan MA63 mesti diuji secara politik. Bukan sekadar siapa paling lantang bercakap tentang hak Sarawak, tetapi siapa paling berupaya menukar hak itu menjadi dasar yang terukur dan manfaat yang nyata.

Politik wilayah yang matang bukan sekadar menuntut lebih kuasa daripada Putrajaya, tetapi memastikan kuasa yang diperoleh tidak terkumpul di pusat negeri sahaja.

Paradoks pembangunan?

Sarawak juga berdepan paradoks pembangunan. Di satu pihak, terdapat pelbagai pihak memperkatakan aspek ekonomi hijau, hidrogen, hidroelektrik, CCUS, pelaburan tenaga, pelabuhan strategik, industri gas dan transformasi digital.

Di pihak lain, masih ada rakyat yang menunggu bekalan air bersih, jalan yang selamat, internet stabil dan akses kesihatan asas. Paradoks ini tidak boleh ditutup dengan bahasa pembangunan futuristik.

Rakyat tidak menolak projek besar, tetapi mereka mahu tahu sama ada projek itu mengubah nasib mereka atau sekadar memperkukuh citra negeri sebagai pusat pelaburan.

Pembangunan ekonomi baharu hanya bermakna jika anak Sarawak menjadi peserta utama, bukan tenaga sokongan di pinggir rantaian nilai. Jika industri hidrogen, tenaga hijau dan ekonomi karbon hanya membuka ruang kepada pemain besar, kontraktor tertentu dan tenaga mahir dari luar, maka ia berisiko melahirkan bentuk baharu ketidaksamaan.

Sarawak boleh kaya dari segi sumber tetapi rakyatnya masih menjadi pemerhati kepada kekayaan di tanah sendiri. Itu risiko politik yang tidak boleh dipandang ringan.

Luar bandar

Isu luar bandar pula kekal sebagai medan sebenar legitimasi politik Sarawak. Dalam pilihan raya, rumah panjang, kampung pesisir dan kawasan pedalaman sering menjadi medan kunjungan, janji dan simbol kedekatan dengan rakyat.

Tetapi selepas pilihan raya, persoalan yang lebih penting ialah kesinambungan penyampaian. Adakah projek dipantau? Adakah kontraktor dipertanggungjawabkan? Adakah wakil rakyat hadir ketika tiada kamera? Adakah pemimpin tempatan benar-benar membawa suara rakyat atau sekadar menjadi penghubung kuasa?

Dalam negeri sebesar Sarawak, wakil rakyat tidak boleh hanya menjadi simbol parti. Mereka mesti menjadi pengurus pembangunan, penyelesai masalah dan pengawas pelaksanaan.

Rakyat di kawasan pedalaman tidak menilai politik melalui teori besar. Mereka menilai melalui jalan kampung yang siap atau tidak, air yang mengalir atau tidak, elektrik yang stabil atau tidak, harga barang yang menekan atau tidak, dan klinik yang boleh dicapai atau tidak. Inilah bahasa politik sebenar di akar umbi.

Penambahan

Cadangan penambahan kerusi DUN daripada 82 kepada 99 perlu dibaca secara kritikal. Dari sudut geografi dan representasi, Sarawak memang mempunyai alasan kukuh untuk menambah kerusi kerana keluasan kawasan dan kesukaran akses.

Namun, penambahan kerusi tidak boleh dilihat hanya sebagai pembesaran struktur kuasa. Ia mesti menjawab persoalan kualiti perwakilan. Adakah rakyat akan lebih dekat dengan wakil mereka? Adakah perkhidmatan lebih cekap? Adakah pembangunan lebih pantas? Atau adakah ia sekadar memperluas peta pengaruh politik sedia ada?

Pembangkang di Sarawak pula menghadapi dilema yang serius. Kelemahan mereka bukan semata-mata kerana kekuatan kerajaan negeri, tetapi kerana mereka masih gagal menawarkan naratif alternatif yang meyakinkan.

Menentang kerajaan negeri atas nama perubahan sahaja tidak mencukupi. Dalam politik Sarawak, pembangkang perlu memahami sentimen wilayah, adat, autonomi, pembangunan luar bandar dan sensitiviti hubungan negeri-Persekutuan.

Jika mereka dilihat terlalu bergantung kepada naratif sensasi tanpa kedalaman fakta, mereka akan terus sukar menembusi psikologi politik Sarawak.

Semak dan imbang

Namun, kelemahan pembangkang bukan alasan untuk kerajaan negeri berasa terlalu selesa. Demokrasi yang sihat memerlukan persaingan yang bermakna.

Jika pembangkang lemah, tanggungjawab semak imbang berpindah kepada rakyat, media, masyarakat sivil, pemimpin komuniti dan institusi dalaman kerajaan sendiri.

Dalam keadaan penguasaan politik yang ampuh, risiko terbesar bukan kekalahan, tetapi rasa kebal. Rasa kebal inilah yang sering melahirkan birokrasi lembap, politik naungan, pembaziran dan sikap sambil lewa terhadap rungutan rakyat.

Generasi muda

PRN Sarawak juga akan menguji keupayaan politik negeri mengurus generasi muda. Belia Sarawak tidak semestinya anti-establishment, tetapi mereka lebih menuntut hasil yang lebih baik.

Mereka melihat dunia luar, membandingkan peluang, memahami jurang gaji dan semakin peka terhadap isu integriti. Ramai berhijrah ke Semenanjung, Brunei, Singapura atau luar negara kerana mencari pendidikan dan pekerjaan yang lebih baik.

Jika negeri gagal menyediakan ekosistem kerja bermaruah, latihan kemahiran, perumahan mampu milik, ekonomi kreatif dan ruang mobiliti sosial, sentimen ‘sayang Sarawak’ sahaja tidak cukup menahan mereka daripada pergi.

Di sinilah pilihan raya menjadi lebih daripada soal undi. Ia menjadi pungutan suara tentang masa depan anak muda dengan petunjuk dan persoalan mengenai tahap kemampuan menjadi tempat untuk mereka pulang, bekerja, dan membina keluarga dan bukannya hanya menjadi ruang nostalgia, sementara peluang sebenar dicari di luar.

Isu tanah adat atau NCR pula kekal sebagai garis sensitif. Bagi kebanyakan komuniti Dayak dan masyarakat luar bandar, tanah ialah identiti, sejarah, adat dan keselamatan hidup.

Pembangunan ladang, jalan, empangan, kawasan industri atau projek tenaga mesti melalui rundingan yang bermakna, bukan sekadar prosedur pentadbiran. Jika tanah adat dipersepsi dikorbankan atas nama pembangunan, meskipun mungkin masih menang pilihan raya, tetapi kepercayaan sosial akan terhakis secara perlahan.

Demokrasi wilayah

Dalam politik Sarawak, harmoni etnik dan agama ialah aset besar. Tetapi keharmonian tidak boleh dijadikan alasan untuk mengelakkan perbincangan kritikal.

Masyarakat yang matang boleh menjaga perpaduan sambil menuntut ketelusan. Mereka boleh mempertahankan identiti Sarawak sambil menolak pembaziran. Mereka boleh menyokong kestabilan sambil menuntut semak imbang. Inilah bentuk demokrasi wilayah yang lebih dewasa.

Akhirnya, pra tayang PRN Sarawak akan datang ialah pertarungan antara naratif kuasa dan tuntutan penyampaian. Kerajaan negeri mempunyai kelebihan struktur, jentera, rekod, sumber dan naratif wilayah.

Tetapi kelebihan itu tidak seharusnya membawa kepada politik selesa. Mandat besar membawa tanggungjawab besar. Semakin dominan kuasa, semakin tinggi tuntutan untuk telus, cekap dan responsif.

Sudah tentu ia tidak wajar hanya ditawarkan slogan kesinambungan, sebaliknya rakyat berhak ditawarkan pelan yang lebih jelas seperti isu setempat termasuk menangani masalah sosial setempat seperti judi maya, ketabilan internet, peluang jumlah pekerjaan dan menangani pengganguran kalangan belia.

Begitu juga mekanisme hasil negeri dibelanjakan dan peranan wakil rakyat akan dipertanggungjawabkan memastikan pembangunan yang lebih efisien.

Berdasarkan situasi ini, PRN Sarawak akan datang bukan sekadar soal mengekalkan kerajaan atau menambah majoriti. Ia ialah ujian sama ada politik Sarawak mampu bergerak daripada politik simbol kepada politik hasil, daripada retorik hak kepada manfaat rakyat, daripada kestabilan sebagai slogan kepada kestabilan yang berakauntabiliti.

Masa depan Bumi Kenyalang tidak boleh hanya diukur melalui kekuatan mandat, tetapi melalui keupayaan mandat itu memperbaiki kehidupan rakyat dari Kuching hingga ke Kapit, dari Bintulu hingga ke Baram, dari Miri hingga ke Lawas, dan dari bandar raya hingga ke rumah panjang paling jauh.

Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah ahli akademik di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau kini ialah Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara  dan  Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia.

Tags: Dr Awang Azman

Continue Reading

Previous: P. Ramlee dalam pesta Aneka Hiburan Rakyat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.