PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa mengajak seluruh rakyat untuk menganjurkan pelbagai aktiviti sempena sambutan Bulan Kebangsaan sebagai tanda kesyukuran dan kebersamaan selari dengan konsep Keluarga Malaysia.
Beliau berkata setelah dua tahun dibelenggu pandemik Covid-19, kini rakyat negara ini perlu kembali menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 (HKHM2022) dengan penuh rasa patriotik.
“Tahun ini negara akan meraikan sambutan HKHM2022 dalam suasana yang kita berharap ia diraikan oleh segenap lapisan masyarakat dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan pelbagai acara.
“Berteraskan kepada konsep Keluarga Malaysia iaitu Kebersamaan, Keterangkuman dan Kesyukuran. Ini tanda kesyukuran kita semua,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur
Gemilang 2022 di Dataran Putrajaya di sini semalam.
Majlis itu dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas menyertai program Berjalan Teguh Bersama bersempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 bersama Jemaah Menteri dan lebih 15,000 peserta sejauh 2.7 kilometer.
Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 mahu sambutan Bulan Kebangsaan dilaksanakan di seluruh negara berteraskan tiga teras terbabit yang merupakan
sumber kekuatan sesebuah negara.
Beliau turut mengajak rakyat untuk mendoakan agar pimpinan Ismail Sabri sentiasa dilimpahi kesejahteraan
dan terus terserlah.
“Doakan juga keharmonian Keluarga Malaysia ini terus terjalin. Mudah-mudahan apa yang didoakan Imam Masjid Putra, Salahuddin Ghozali sebentar tadi dapat zahirkan sebuah negara aman sejahtera dan mendapat rahmat Allah SWT,” katanya.
Bercakap kepada media selepas majlis pelancaran Bulan Kebangsaan itu, Annuar berkata suasana sambutan hari ini telah lama dinanti-nantikan rakyat malah menjadi lebih istimewa dengan penyertaan Ismail Sabri dan Jemaah Menteri berjalan bersama-sama rakyat.
“Ini membawa simbolik ‘Teguh Bersama Keluarga Malaysia’ yang juga tema tahun ini. Yang penting sekali ialah kita kembali kepada satu suasana penuh keceriaan,” katanya.
Sementara itu, Annuar berkata sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos ini akan lebih meriah daripada sebelum ini.
“Sudah lama tidak ada perarakan, saya terima banyak sekali permohonan daripada pelbagai kumpulan yang ingin menyertainya walaupun kita terpaksa hadkan,” katanya. – Bernama