BINTULU: Ketika insan tersayang menerima rawatan di hospital, keadaan pesakit pastinya menjadi keutamaan keluarga.
Namun, bagi waris yang datang dari kawasan jauh, persoalan tempat untuk tidur dan berehat turut menjadi cabaran, terutama apabila rawatan mengambil masa yang panjang.
Kos penginapan, perjalanan berulang-alik dan perbelanjaan harian boleh menambah tekanan kepada keluarga, khususnya mereka yang datang dari kawasan pedalaman.

Di Hospital Bintulu, persoalan itu sedikit sebanyak dapat diringankan menerusi Anjung Kasih Hospital Bintulu, yang menyediakan penginapan sementara secara percuma kepada waris pesakit yang memerlukan.
Inisiatif Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM), Yayasan Bintulu Port dan Hospital Bintulu.
Anjung Kasih memberi tumpuan kepada waris pesakit yang datang dari luar Bintulu dan perlu berada berdekatan dengan ahli keluarga sepanjang tempoh rawatan.

Keluarga dari kawasan seperti Belaga, Mukah serta kawasan pedalaman lain boleh mendapatkan tempat tinggal sementara tanpa perlu mencari hotel atau menanggung kos penginapan sepanjang berada di Bintulu.
Anjung Kasih Hospital Bintulu bukan sekadar menyediakan tempat untuk bermalam, malah dilengkapi pelbagai kemudahan asas bagi memastikan waris dapat berehat dalam persekitaran yang selesa dan kondusif.
Antara kemudahan yang disediakan termasuk bilik penginapan keluarga, asrama lelaki dan wanita, bilik mesra Orang Kurang Upaya (OKU), bilik kaunseling, ruang makan dan pantri, ruang solat serta bilik cucian dan jemuran.

Ruang tamu dan ruang rehat turut disediakan untuk kegunaan penghuni.
Kemudahan berkenaan diwujudkan menerusi kerja naik taraf sebuah bangunan kuarters jururawat lama di Hospital Bintulu menjadi pusat penginapan yang lebih selesa.
Projek itu menerima tajaan penuh bernilai RM1.9 juta daripada Yayasan Bintulu Port.
Sebanyak 25 bilik penginapan, termasuk sebuah bilik mesra OKU, disediakan dengan kapasiti sehingga 75 penghuni pada satu-satu masa.
Proses mendapatkan penginapan bermula dengan waris mendapatkan maklumat daripada pihak Hospital Bintulu atau petugas Anjung Kasih mengenai pendaftaran dan kekosongan bilik.

Maklumat diri waris serta pesakit perlu didaftarkan bagi tujuan pengurusan penginapan.
Anjung Kasih Hospital Bintulu turut menggunakan Sistem Pengurusan Anjung Kasih, iaitu sistem pengurusan digital yang membantu merekod maklumat penghuni serta memantau kapasiti penginapan secara lebih sistematik.
Selepas pendaftaran dan semakan dibuat, penempatan bergantung kepada kelayakan, keperluan dan kekosongan semasa.
Waris yang mendapat penempatan boleh menggunakan kemudahan tersebut sepanjang tempoh yang ditetapkan oleh pihak pengurusan.
Sebelum membuat permohonan, waris disarankan mendapatkan pengesahan daripada petugas mengenai dokumen yang diperlukan, syarat kelayakan, tempoh penginapan dan prosedur pendaftaran.
Ini penting kerana syarat serta kekosongan bilik tertakluk kepada keadaan semasa.
Penghuni juga perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan, termasuk menjaga kebersihan, keselamatan dan kemudahan yang dikongsi bersama.
Kewujudan Anjung Kasih memberi alternatif kepada keluarga yang perlu berada di Bintulu untuk menemani pesakit dalam tempoh tertentu.
Tanpa kemudahan tersebut, waris dari luar kawasan mungkin terpaksa mengeluarkan perbelanjaan untuk hotel atau berulang-alik setiap hari dari tempat tinggal yang jauh.
Penginapan percuma ini secara tidak langsung membolehkan keluarga memberi tumpuan kepada pesakit tanpa terlalu memikirkan kos tempat tinggal.
Pada masa sama, ruang penginapan yang disediakan di luar kawasan wad membantu mengurangkan kesesakan waris di hospital serta memberikan mereka ruang untuk berehat dengan lebih selesa.
Ketika seseorang sedang menunggu perkembangan kesihatan ibu, bapa, anak atau pasangan, keperluan untuk mendapatkan tempat yang selesa bagi berehat mungkin kelihatan kecil.
Hakikatnya, ia boleh memberi makna besar kepada keluarga yang sedang melalui tempoh sukar.
Seorang ibu yang menemani anak mendapatkan rawatan, seorang anak yang menjaga ibu atau bapa, mahupun pasangan yang berada di sisi suami atau isteri yang sedang dirawat memerlukan ruang untuk makan, mandi dan tidur sebelum kembali menemani pesakit.
Dalam keadaan itu, Anjung Kasih menawarkan lebih daripada sekadar sebuah bilik penginapan.
Kemudahan tersebut memberi ruang kepada waris untuk berehat, mengurangkan beban kewangan dan membolehkan mereka terus berada dekat dengan insan tersayang sepanjang tempoh rawatan.
Kewujudannya juga memperlihatkan bahawa kebajikan keluarga pesakit turut diberi perhatian, bukan hanya aspek rawatan kepada pesakit.
Justeru, masyarakat khususnya keluarga pesakit dari luar Bintulu perlu mengetahui kewujudan kemudahan berkenaan dan mendapatkan maklumat mengenainya apabila memerlukan tempat tinggal sementara.
Waris yang memerlukan penginapan boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak Hospital Bintulu atau petugas Anjung Kasih mengenai proses pendaftaran, syarat dan kekosongan semasa.
Kerana dalam saat keluarga berdepan ujian kesihatan, tempat untuk berehat dengan tenang bukan sekadar kemudahan, tetapi satu bentuk sokongan yang amat bermakna.
Oleh Carolyne Utih




