
SARAWAK kini berada pada persimpangan penting dalam sejarah pembangunan ekonominya. Selama beberapa dekad, kekuatan negeri ini sering dikaitkan dengan kekayaan sumber asli seperti minyak dan gas, hutan, tanah, sungai, tenaga hidro, hasil pertanian dan kedudukan geografi yang luas di Borneo.
Semua ini pernah menjadi asas utama untuk menarik pelaburan. Namun, dalam persaingan ekonomi global hari ini, kekayaan sumber semata-mata tidak lagi mencukupi.
Dunia pelaburan sudah berubah. Pelabur asing kini bukan hanya bertanyakan lokasi yang murah, tetapi kini lebih terfokus kepada lokasi yang stabil, hijau, berkemahiran tinggi, berteknologi, cekap dari segi tadbir urus dan mampu memberi pulangan jangka panjang.
Anjakan minda
Maka, Sarawak perlu melakukan anjakan minda dalam menarik pelaburan langsung asing atau FDI. Anjakan itu bukan sekadar memperbanyak angka pelaburan, tetapi memilih pelaburan yang benar-benar mampu mengubah struktur ekonomi negeri.
Dalam bahasa mudah, Sarawak tidak boleh lagi hanya bertanya: “Berapa banyak pelaburan masuk?” Sebaliknya, soalan yang lebih penting ialah: “Apakah jenis pelaburan yang masuk, siapa yang mendapat manfaat, apakah teknologi yang dipindahkan, berapa banyak pekerjaan mahir diwujudkan, dan sejauh mana pelaburan itu mengangkat ekonomi rakyat Sarawak?”

Inilah perubahan besar yang perlu berlaku. FDI tidak harus dilihat sebagai kejayaan angka semata-mata. Nilai sebenar FDI terletak pada keupayaannya membina ekosistem ekonomi tempatan.
Pelaburan yang hanya datang untuk menggunakan tanah, mengeksploitasi sumber, membawa buruh luar, mendapat insentif, lalu meninggalkan kesan limpahan kecil kepada rakyat tempatan, bukanlah pelaburan strategik.
Sebaliknya, Sarawak memerlukan FDI yang membawa pengetahuan, teknologi, kemahiran, penyelidikan, peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana tempatan, serta ruang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk anak negeri.
Asas kuat
Sarawak sebenarnya mempunyai asas yang kuat untuk melakukan perubahan ini. Melalui Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) kerajaan negeri telah meletakkan aspirasi untuk menjadikan Sarawak sebuah masyarakat makmur yang dipacu oleh data dan inovasi, dengan penekanan kepada kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
PCDS 2030 juga menekankan perubahan struktur ekonomi melalui peningkatan aktiviti hiliran, pemodenan ekonomi melalui hubungan fizikal dan digital, serta peningkatan pendapatan isi rumah melalui pekerjaan dan keusahawanan.
Namun, ia perlu melangkaui dokumen dasar. Perkara paling mencabar ialah menterjemahkan dasar itu kepada budaya pentadbiran, budaya pelaburan dan budaya ekonomi baharu.
Sarawak perlu keluar daripada perangkap lama, iaitu melihat dirinya hanya sebagai negeri pengeluar bahan mentah.
Jika minyak mentah hanya dieksport, gas hanya disalurkan, kayu hanya ditebang, dan tanah hanya dibuka untuk aktiviti rendah nilai tambah, maka Sarawak akan kekal sebagai penyumbang sumber, bukan penguasa rantaian nilai.
Naratif baharu
Sebab itu, naratif baharu Sarawak mesti dibina dengan lebih berani: Sarawak bukan lagi sekadar negeri sumber; Sarawak mesti menjadi hab ekonomi hijau, tenaga boleh baharu, hidrogen, teknologi bersih, industrihiliran, ekonomi digital dan logistik strategik Borneo.
Kekuatan tenaga hidro memberi Sarawak kelebihan besar dalam era ESG yang merupakan singkatan kepada Alam Sekitar (Environmental), Sosial(Social), dan Tadbir Urus (Governance) dan peralihan tenaga global.
Ketika banyak negara dan syarikat antarabangsa mencari lokasi rendah karbon untuk pengeluaran, Sarawak boleh menawarkan tenaga yang lebih bersih, stabil dan berskala besar.
Bidang tenaga boleh diperbaharui sudah pun menjadi keutamaan di bawah PCDS 2030, dan Sarawak dilihat berada pada landasan pertumbuhan mampan dengan minat asing terhadap sektor tenaga boleh baharu.
Lebih penting, Sarawak juga sedang menempatkan dirinya dalam ekonomi hidrogen. Pelbagai kerjasama dengan syarikat Jepun dan Korea Selatan seperti SK Energy, Sumitomo Corporation dan Eneos menunjukkan bahawa Sarawak sedang membina kedudukan dalam sektor tenaga bersih serantau.
Tenaga diperbaharui
Contoh terkini ialah rancangan China Energy Engineering Investment Corporation Ltd atau CEEIC untuk melabur sekitar AS$1.35 bilion, bersamaan kira-kira RM6 bilion, dalam sektor tenaga bersih Sarawak, melibatkan solar, penyimpanan bateri dan pembangunan infrastruktur grid.
Perkara ini menunjukkan bahawa Sarawak mempunyai daya tarikan baharu.
Namun, persoalan kritikalnya ialah bagaimana pelaburan seperti ini dapat dikaitkan dengan pembangunan vendor tempatan, latihan jurutera Sarawak, penyelidikan universiti tempatan, pekerjaan teknikal, dan pemilikan nilai oleh rakyat negeri sendiri.
Di sinilah perlunya anjakan minda kedua, Sarawak tidak harus menjadi tempat pelaburan asing beroperasi secara terpisah daripada ekonomi tempatan secara minimum.
FDI mesti disambungkan dengan rantaian bekalan tempatan. Syarikat tempatan perlu diberi ruang sebagai pembekal, kontraktor, penyedia perkhidmatan, rakan teknologi dan pemain industri hiliran.
Sinergi
Universiti dan institusi latihan di Sarawak pula perlu disepadukan dengan keperluan industri. Jika pelaburanhidrogen masuk, maka kursus, latihan, penyelidikan dan kemahiran berkaitan hidrogen mesti dibangunkan.
Jika pelaburan solar dan bateri berkembang, maka anak muda Sarawak mesti dilatih dalam kejuruteraan tenaga, sistem grid, penyelenggaraan teknologi, analitik data dan pengurusan projek hijau bagi anak-anak muda agar mempunyai pelbagai jaminan peluang pekerjaan yang lebih stabil.
Destinasi premium
Anjakan minda ketiga ialah Sarawak perlu berhenti bersaing sebagai destinasi murah. Persaingan berdasarkan kos rendah mudah memerangkap ekonomi dalam gaji rendah, produktiviti sederhana dan pergantungan kepada buruh luar.
Sarawak sebaliknya harus bersaing sebagai destinasi premium, iaitu stabil, hijau, strategik, kaya tenaga bersih, mempunyai autonomi dasar yang semakin kuat, serta berpotensi menjadi pintu masuk ke pasaran Borneo dan ASEAN timur.
Pelabur berkualiti tidak semestinya mencari lokasi paling murah, mereka mencari lokasi yang boleh dipercayai untuk peluang jangka panjang. Maka, tadbir urus menjadi sangat penting.
Pelabur asing menilai bukan sahaja sumber dan insentif, tetapi juga kelajuan kelulusan, kejelasan peraturan, kestabilan dasar, ketelusan tanah, kecekapan agensi dan koordinasi antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan.
Sekiranya proses terlalu lambat, arahan bertindih, atau keputusan dasar tidak konsisten, Sarawak akan kehilangan kelebihan walaupun mempunyai sumber yang besar.
Maka, anjakan minda dalam FDI juga bermaksud anjakan dalam budaya pentadbiran: daripada birokrasi prosedural kepada birokrasi penyelesai masalah.
Kepentingan warga
Pada masa sama, Sarawak mesti berhati-hati agar agenda menarik FDI tidak mengorbankan kepentingan sosial, alam sekitar dan masyarakat peribumi.
Pelaburan besar dalam tenaga, tanah, infrastruktur dan industri berat mesti dinilai dari sudut kesan terhadap komuniti tempatan, hak tanah adat, alam sekitar, keselamatan makanan dan keseimbangan wilayah.
Pelaburan yang kelihatan besar di atas kertas boleh menjadi beban sosial jika tidak diurus dengan adil. Justeru, FDI berkualiti mestilah bukan sahaja menguntungkan pelabur dan kerajaan, tetapi juga memberi manfaat nyata kepada rakyat biasa.
Sarawak juga perlu mengukuhkan jenama ekonominya. Dunia mesti melihat Sarawak bukan sebagai wilayah pinggiran, tetapi sebagai pusat baharu ekonomi hijau di Asia Tenggara.
SCORE atau Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak telah lama memberi penekanan kepada tenaga boleh baharu, teknologi hijau, biomas dan ekonomi digital selaras dengan PCDS 2030.
Kini, agenda itu perlu dipertajam dengan naratif lebih meyakinkan: Sarawak ialah tempat pelaburan masa depan, bukan sekadar pelaburan sumber lama.
Impian Sarawak
Akhirnya, kejayaan Sarawak dalam menarik FDI tidak boleh diukur dengan majlis menandatangani memorandum persefahaman atau jumlah komitmen pelaburan sahaja.
Ukuran sebenar ialah berapa banyak kilang beroperasi, berapa banyak pekerjaan mahir tercipta, berapa ramai anak Sarawak dilatih, berapa banyak syarikat tempatan naik taraf, berapa banyak teknologi dipindahkan, dan berapa besar nilai tambah kekal dalam ekonomi negeri.
Inilah anjakan minda yang paling mendasar. Sarawak harus bergerak daripada logik “datanglah melabur kerana kami ada tanah dan sumber” kepada logikä baharu, iaitu datanglah melabur kerana Sarawak menawarkan tenaga bersih, kestabilan politik, kedudukan strategik Borneo, ekosistem hijau, bakat tempatan yang boleh dibangunkan, dan komitmen serius terhadap ekonomi masa depan.”
Rumusan
Jika anjakan ini berjaya dilakukan, Sarawak bukan sahaja akan menjadi penerima FDI, tetapi akan menjadipengarah kepada bentuk pelaburan yang menentukan masa depannya sendiri.
Sarawak tidak harus membiarkan pelaburan asing menentukan hala tujunya; sebaliknya Sarawak mesti menentukan jenis pelaburan asing yang sesuai dengan visi kemakmuran, keterangkuman dan kelestarian negeri. Itulah makna sebenar perubahan minda dalam menarik FDI.
- Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah ahli akademik di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau kini ialah Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara dan Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia.