
PETRA JAYA: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan seorang anggota polis yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjun dari Jambatan Tun Salahuddin, Petra Jaya, semalam, masih diteruskan sehingga petang ini.
Mangsa dikenali sebagai Koperal Haffiz Abdullah Sapwan, 34, yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan. Difahamkan, beliau pulang ke Kuching sejak 2 April lalu sempena cuti perayaan Aidilfitri.
Menurut laporan, kejadian berlaku kira-kira 9.23 pagi pada 11 April selepas Bahagian Ketenteraman Awam, Cawangan Pusat Kawalan Daerah Kuching (DCC) menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 daripada orang awam yang memaklumkan terdapat cubaan bunuh diri di lokasi berkenaan.
Mangsa yang sepatutnya kembali bertugas di Kelantan pada 12 April, dipercayai berada di atas jambatan sebelum terjun ke dalam sungai.
Ketika kejadian, mangsa ditemani adiknya, Mohamad Faizul Sapwan, yang memaklumkan bahawa tiada sebarang perubahan tingkah laku atau tanda mencurigakan ditunjukkan oleh Haffiz sepanjang berada di Kuching.
Susulan kejadian, satu laporan polis telah dibuat.
Operasi SAR dilancarkan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), dan Lembaga Sungai Sarawak.
Hari ini, operasi SAR memasuki hari kedua. Pasukan penyelamat memulakan pencarian seawal jam 6.30 pagi menggunakan bot penyelamat dengan kaedah pencarian di permukaan air sejauh satu kilometer dari lokasi kejadian.
Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) turut tiba di Pos Kawalan Bomba pada 7.00 pagi untuk meneruskan operasi.
Turut serta dalam operasi hari ini ialah empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan dan lima anggota Unit PPDA dari BBP Batu Lintang.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Wee Hong Seng, turut hadir di lokasi sekitar jam 8.40 pagi untuk meninjau keadaan dan memberikan sokongan kepada anggota yang terlibat dalam operasi.
Menurut pihak bomba, setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR masih diteruskan.
Oleh Amanda L.