BANDAR SERI BEGAWAN: Anggota Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) harus mempunyai satu pemikiran yang seiring, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak berkata, malah mereka juga perlu bersatu dalam satu platform menggunakan teknologi yang sama dengan pemikiran yang sama.
“Anggota Perkhidmatan Awam Sarawak ini perlu terus bekerjasama dalam menghadapi cabaran dan memastikan Sarawak terus berkembang dengan cara yang inovatif dan kompetitif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan penutupan program pemukiman ‘One Team Retreat (OTR) 2024’ yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini, seperti dilaporkan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Menurut UKAS, Abang Johari tiba di sini pagi tadi, diiringi dua Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian.
Seramai 125 ketua jabatan dari pelbagai agensi dan badan berkanun di Sarawak telah menyertai Program OTR 2024 yang diadakan selama tiga hari dua malam di sini, bermula Selasa lalu.
Dalam ucapannya, Abang Johari juga berkongsi beberapa perkara penting berhubung pentadbiran Sarawak termasuk berkaitan cabaran global dihadapi dalam sistem pentadbiran, kepentingan pendekatan sistematik dalam penyampaian perkhidmatan serta penambahbaikan berterusan menjelang 2030.
“Kami dalam kabinet akan berusaha untuk memodenkan sistem supaya kita tiada masalah dalam menghadapi cabaran mendatang. Saya juga percaya strategi kita dilihat oleh dunia,”katanya.
Terdahulu, Premier Sarawak telah mendengar laporan dan pandangan yang disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki menerusi ucapan aluannya.
Laporan berkenaan adalah berdasarkan hasil daripada lima kertas kerja kumpulan yang telah dibentangkan pada hari pertama program itu diadakan.
Hadir sama di majlis itu ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom; Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai dan Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin.
Turut hadir Peguam Besar Sarawak Datu Saferi Ali dan Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar.