Anak monyet Punch sambut ulang tahun pertama, terus curi perhatian dunia

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
PUNCH bersama patung orang utan kesayangannya mencipta fenomena. Foto AFP

ICHIKAWA, Jepun: Punch, anak monyet Jepun yang gemar memeluk patung lembut sehingga menjadi sensasi di media sosial seluruh dunia, bakal menyambut ulang tahun kelahiran pertamanya, ketika zoo tempat ia dipelihara dibanjiri surat ucapan daripada peminat di serata dunia.

Punch, seekor monyet baka kera Jepun (macaque), ditinggalkan ibunya sejurus dilahirkan dan turut dipinggirkan oleh beberapa ekor monyet lain dalam kumpulannya.

Namun, ia mula mencuri perhatian selepas dilihat memeluk patung orang utan keluaran IKEA sebagai peneman dan sumber ketenangan di Zoo Bandar Ichikawa, di luar Tokyo.

Pada Februari lalu, pihak zoo mula memuat naik video perkembangan Punch di media sosial, memaparkan usahanya yang kekok untuk menyesuaikan diri dengan kumpulannya.

PENGUNJUNG meletakkan ucapan selamat hari lahir pada dinding khas buat Punch, seekor monyet jantan baka kera Jepun (macaque) yang hampir berusia setahun dan ditinggalkan ibunya sejurus selepas dilahirkan, di Zoo dan Taman Botani Bandar Ichikawa di Ichikawa pada 24 Julai 2026. Foto AFP

Video itu kemudian mencetuskan gelombang sokongan daripada peminat di bawah tanda pagar #HangInTherePunch.

Pegawai zoo, Takashi Yasunaga berkata kepada AFP pada Jumaat bahawa Punch kini membesar dengan sihat dan semakin aktif bermain bersama monyet lain.

“Dia semakin kurang bergantung kepada patung orang utan itu. Kini dia mula berinteraksi dengan haiwan lain dan bermain dengan anak-anak monyet yang lain.

“Dia sedang membina kedudukannya sebagai salah seekor anggota dalam kumpulan itu,” katanya.

Zoo yang sebelum ini hanya menerima beberapa ratus pengunjung setiap hari kini menjadi tumpuan ribuan pelawat tempatan dan antarabangsa yang ingin melihat Punch secara dekat.

Populariti Punch turut menyebabkan pihak zoo menerima lambakan panggilan telefon dan e-mel. Ada yang memuji usaha penjagaannya, namun tidak kurang juga yang mengkritik cara Punch dipelihara.

Menjelang sambutan ulang tahunnya pada Ahad, kira-kira 2,500 kad ucapan hari lahir dari seluruh dunia dipamerkan di zoo berkenaan.

SEORANG pengunjung membawa patung monyet untuk melihat Punch. Foto AFP

“Punch muncul di seluruh TikTok. Video mengenainya sentiasa muncul. Dia memang sangat comel. Teman wanita saya menyukainya, begitu juga saya,” kata pelancong dari Amerika Syarikat, Sarren Eilers.

“Saya sudah melihatnya melalui video, jadi saya rasa saya mesti datang melihatnya sendiri.”

Bagaimanapun, populariti Punch turut mengundang perhatian yang tidak diingini apabila dua YouTuber dari Amerika Syarikat menceroboh kandang monyet itu pada Mei lalu, manakala seorang individu yang belum dikenal pasti menyuluh pancaran laser ke arah haiwan-haiwan tersebut bulan lalu.

Dalam masa sama, zoo itu memanfaatkan populariti Punch untuk mengumpul dana, dengan berjaya memperoleh 58 juta yen (AS$350,000) menjelang pertengahan Julai. Dana itu digunakan untuk memasang sistem penyaman udara baharu di zoo berkenaan.

“Disebabkan populariti Punch, keseluruhan kumpulan monyet dan juga zoo ini mendapat manfaat melalui penambahbaikan kemudahan,” kata Yasunaga.

Kini, Punch lebih banyak berehat di kawasan teduh pada waktu siang dan menjadi lebih aktif pada awal malam apabila suhu lebih sejuk.

Seorang peminat tempatan, Junko Hara, 38, berkata Punch merupakan haiwan yang sangat tabah.

“Dia tidak mudah berputus asa. Saya amat mengagumi ketabahannya dan melihat perkembangannya sentiasa menceriakan hari saya,” katanya.

Seorang lagi peminat, Yukie Mibayashi, 66, berkata Punch mendapat sokongan daripada orang ramai di seluruh dunia.

“Saya mahu beritahu Punch bahawa seluruh dunia sedang memerhatikannya. Teruskan berjuang,” katanya. – AFP