KUCHING: Kementerian Pendidikan (KPM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) membuka permohonan pengambilan khas guru di Sarawak bagi menangani kekurangan guru di negeri ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, permohonan pengambilan khas ini akan dibuka selama tiga minggu bermula esok (1 Ogos) hingga 23 Ogos 2024.
Menurutnya, Sarawak dijangka mengalami masalah kekurangan 2,373 guru menjelang 31 Disember tahun ini.
”Kita menjangkakan jumlah ini (2,373) akan berkurangan kepada 1,130 hasil daripada pengambilan SPP dan penempatan guru baharu KPM antara Julai dan November tahun ini.
”Justeru, bagi mengatasi isu kekurangan guru sedia ada, kita (kerajaan Sarawak) bersama KPM dan SPP telah bersetuju untuk mengambil guru tambahan melalui sesi pengambilan khas untuk Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media ‘Menangani Kekurangan Guru di Sarawak: Inisiatif Pengambilan Baharu dan Kemaskini’ di bilik mesyuarat Sarawak Skills di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, Roland Sagah berkata, pengambilan khas guru baru tersebut adalah terbuka kepada semua graduan ijazah sarjana muda pendidikan dan juga graduan ijazah sarjana muda bukan pendidikan.
Katanya, calon yang berjaya akan diambil untuk kontrak kerja selama dua tahun dan perlu mengikuti kursus diploma pendidikan atas perbelanjaan sendiri di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) melalui Kursus Dalam Cuti (KDC).
”Selepas menamatkan kursus diploma pendidikan ini, mereka akan ditawarkan jawatan tetap sebagai guru, tertakluk kepada saringan akhir oleh SPP.
”Sementara itu, bagi mengelakkan isu guru memohon pertukaran keluar dari sekolah yang ditempatkan selepas pelantikan dan penempatan, keutamaan akan diberi kepada calon dari kawasan yang mempunyai banyak kekosongan guru.
”Ini bermakna jika anda berasal dari Baram dan memenuhi semua kriteria serta lulus temu duga, anda akan ditempatkan di sekolah-sekolah di Baram,” jelasnya.
Dalam pada itu, katanya, setakat ini kesemua 30 daerah pendidikan di Sarawak kini mempunyai kekosongan guru dengan Daerah Serian, Daro, Kapit, Subis, Saratok dan Betong mempunyai kekosongan paling banyak dengan lebih 100 kekosongan setiap satu.
Menurut Roland Sagah, kekosongan terbesar mengikut mata pelajaran adalah guru Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Moral, Prasekolah, Bahasa Melayu dan Pemulihan selain terdapat juga kekosongan dalam 22 pilihan mata pelajaran lain, termasuk di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
Calon yang berminat hendaklah mengemukakan permohonan secara dalam talian MySPP menerusi https://myspp.spp.gov.my/myspp/index.php.
Sesi temu duga bakal dilaksanakan pada minggu kedua September ini manakala keputusan akan diumumkan pada Oktober atau November, dengan penempatan disasarkan pada November dan Disember.
Oleh RYNNA SHA’ERRA