KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di lapan negeri hingga 6 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan negeri terlibat ialah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sarawak dan Sabah.
Di Kedah, kawasan terjejas melibatkan Bandar Baharu dan Kulim, manakala di Pulau Pinang merangkumi Seberang Perai Selatan, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Utara.
Di Perak, amaran itu membabitkan Kinta, Kampar, Kerian, Selama, Larut Matang dan Kuala Kangsar.
Amaran sama turut dikeluarkan bagi Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli di Kelantan; Besut di Terengganu serta Cameron Highlands di Pahang.
Di Sarawak, cuaca buruk itu dijangka melanda Subis di Miri; Kapit dan Song di Kapit; Kanowit dan Selangau di Sibu serta Julau di Sarikei.
Sementara itu, kawasan terlibat di Sabah ialah Sook, Pensiangan, Tenom dan Sipitang di Pedalaman; Kinabatangan dan Tongod di Sandakan serta Kalabakan dan Lahad Datu di Tawau. – Bernama




