Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Amalkan kesederhanaan laksana majlis kerajaan – PM
  • NASIONAL

Amalkan kesederhanaan laksana majlis kerajaan – PM

Utusan Sarawak 3 months ago
SAMPAIKAN AMANAT… Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Dewan De’Seri Endon Puspanitapuri, Putrajaya hari ini. Foto Bernama

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua majlis rasmi kerajaan sepanjang Ramadan ini dilaksanakan dengan penuh kesederhanaan, selaras dengan semangat dan roh bulan tersebut.

Berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini, beliau menekankan pentingnya untuk dimensi kerohanian diperkukuh sepanjang Ramadan, bukan hanya melalui ibadah kepada Allah SWT tetapi juga dengan memupuk integriti, disiplin dan kejujuran dalam kehidupan seharian.

“Ramadan ini seharusnya menjadi masa untuk kita lebih insaf dan berusaha menyampaikan bantuan kepada masyarakat kurang bernasib baik, bukan sekadar memewahkan acara iftar dan kegiatan kita,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kementerian dan jabatan kerajaan untuk mengamalkan kesederhanaan pada majlis rasmi sepanjang Ramadan supaya dana yang ada dapat dimanfaatkan untuk membantu golongan memerlukan.

“Saya perhatikan ada kalanya jabatan, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan menyediakan sumbangan dalam bentuk terlalu mewah. Sebagai contoh, kotak-kotak pembungkusan sangat indah tetapi harganya mungkin lebih mahal daripada isi seperti kurma diberikan. Ini satu pembaziran,” kata Menteri Kewangan itu.

Anwar turut menyeru agar Ramadan dijadikan sebagai bulan membudayakan pembacaan, pemahaman dan penghayatan al-Quran, sesuai dengan peranannya sebagai petunjuk kepada manusia.

“Syahrul Ramadan adalah bulan turunnya al-Quran, yang menjadi panduan untuk menentukan pertimbangan antara yang baik dan buruk.

“Maka, marilah kita semua mengambil kesempatan ini untuk mendalami dan mengamalkan ajaran al-Quran,” katanya.

Perhimpunan turut dihadiri dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Dato Sri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. – Bernama

Tags: Nasional

Continue Reading

Previous: Ismail Sabri disiasat berkaitan rasuah, pengubahan wang haram
Next: Caruman KWSP untuk bukan warganegara

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.