
SIBU: Penyanyi Indonesia Nadhif Basalamah memukau penonton dengan alunan balada lembut dan penuh emosi pada Rajang River Music Festival 2026 (RRMF) yang berlangsung di Robert’s Wooden House hari ini.
Artis yang terkenal menerusi lagu “Penjaga Hati” itu berjaya mencipta fenomena tersendiri apabila single tersebut sebelum ini menduduki carta teratas Billboard Indonesia Songs serta Malaysia Songs.
Dengan vokal yang lunak dan penuh penghayatan, beliau mempersembahkan beberapa lagu popular termasuk “Bergema Untuk Selamanya”, “Kota Ini Tak Sama Tanpamu” dan “Semusim”, sekali gus menghidupkan suasana festival dengan aura romantik yang menyentuh perasaan penonton.
Selain Nadhif, hari pertama RRMF 2026 turut dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan dan antarabangsa seperti Syndrama, App DJ, SunOceanUs, Syntak DJ, The Japs, At Adau dan Steph DJ.
Festival muzik selama dua hari itu akan melabuhkan tirainya esok dengan barisan artis seperti Yuzu Music, Soyong DJ, Datboirg, Rocatz DJ, JohnDills, Alena Murang, Ivy Lee serta Intan DJ.
Oleh Tarani Lanting