KUALA LUMPUR: Alliance Islamic Bank Berhad (Alliance Islamic Bank) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) baru-baru ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) selama tiga tahun untuk memberi peluang kepada pelanggan Alliance Islamic Bank, yang terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menjadi pembekal kepada Program FoodBank YaPEIM.
Ekosistem yang saling memberi manfaat kepada kedua pihak ini menawarkan pilihan pembekal tambahan kepada YaPEIM untuk memperoleh makanan dan keperluan asas pada kadar kompetitif yang akan disumbangkan kepada komuniti yang terpinggir.
Bagi PKS pula, program ini menawarkan peluang pasaran baharu untuk mereka menjual produk selain membantu komuniti yang memerlukan.
“Wabak COVID-19 yang melanda bukan sahaja memberi kesan buruk kepada PKS, malah kepada para individu dan keluarga kategori B40.
“Kerjasama dengan YaPEIM menyediakan peluang kepada kami untuk memberi kesan positif kepada lebih ramai pihak yang memerlukan, terutamanya komuniti yang kurang bernasib baik dan PKS ketika berdepan dengan keadaan yang mencabar sekarang.
“YaPEIM dapat menambah senarai vendor bagi memastikan bekalan yang cukup untuk keperluan program FoodBank YaPEIM. Sementara itu, PKS pula mendapat peluang perniagaan dan pemasaran yang baharu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank, En. Rizal IL-Ehzan bin Fadil Azim.
Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan berkata, “Kami di YaPEIM percaya kerjasama yang dirintis dengan pihak Alliance Islamic Bank ini akan terus membuka lebih banyak ruang kerjasama dalam pelbagai bidang strategik terutamanya dalam menyokong pembangunan dan pemerkasaan usahawan yang mampu bersaing, berdaya tahan dalam situasi ekonomi semasa.”
YaPEIM hari ini menyampaikan sumbangan kepada 500 penerima dalam bentuk barangan keperluan asas bagi mengurangkan beban mereka semasa perintah kawalan pergerakan bersyarat dan sempena bulan Ramadan. Para penerima terdiri daripada Polis Bantuan Hospital Kuala Lumpur, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, PPR Sri Kota, PPR Hiliran Ampang, Sekolah Agama Rakyat Kafa Integrasi Solahiyyah Damai, Sukarelawan Al Rahmah Kuala Langat, Surau Al Ikhwan Sungai Buluh, Pangsapuri Taman Industri Lembah Jaya Ampang, Sukarelawan Hospital Sungai Buluh, dan Persatuan Jaringan Islam Global Masa Depan.
Menerusi MoU ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama menganjurkan pelbagai inisiatif tambahan seperti e-bazaar Ramadan dan CMASA.my, yang merupakan platform perdagangan dalam talian YaPEIM.
Para PKS yang diperkenalkan oleh AIS akan disenaraikan pada platform ini sebagai penjual atau pembekal. Kolaborasi ini merupakan pengembangan strategik program Halal in One oleh Alliance Islamic Bank yang membantu PKS untuk berjaya dalam pasaran Halal. Langkah ini juga selaras dengan usaha kumpulan perbankan menerusi kempen #SupportLokal yang dilancarkan baru-baru ini, bertujuan membantu perniagaan yang terkesan akibat COVID-19.
Turut dirancang adalah usaha untuk meluaskan kerjasama merangkumi platform lain seperti Alliance Islamic Bank SocioBiz, sebuah platform crowdfunding sosial yang membantu individu yang kurang bernasib baik meningkatkan kualiti hidup mereka dengan mencapai kebebasan kewangan melalui perniagaan. Bagi membantu enterpris sosial, orang ramai boleh menderma menerusi www.alliancebank.com.my/sociobiz.
Program FoodBank YaPEIM bertujuan untuk memberi sumbangan kepada 250,000 penerima. Sehingga kini, YaPEIM telah membelanjakan sebanyak RM1,748,076.85 untuk 76,976 orang penerima dalam bentuk wang tunai, makanan kering atau sedia untuk dimakan di seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang kerjasama ini, sila layari www.alliancebank.com.my atau www.yapeim.my.