KUCHING: Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi memberi jaminan akan meneruskan dasar Kementerian Kerja Raya (KKR) terdahulu yang terbukti berkesan.
Di samping itu, beliau juga akan menambah baik dasar-dasar kementerian terbabit yang boleh membawa manfaat kepada rakyat dan negara.
“Saya akan terus menghormati peranan penjawat awam dari semua lapisan kementerian yang telah banyak menyumbang idea dan tenaga kepada kementerian ini,” katanya dalam kenyataan media setelah diumumkan sebagai Menteri Kerja Raya dalam Kerajaan Perpaduan malam ini.
Alexander berkata, mereka akan terus bekerja bersama sebagai satu pasukan dan memastikan setiap usaha dan inisiatif yang diambil kementerian terbabit akan membawa kebaikan kepada seluruh rakyat Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak.
“Saya berharap setiap daripada kita dapat terus bergerak ke hadapan dan memberikan fokus dalam usaha memulihkan negara, terutamanya dari sudut ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikannya itu dan juga Premier Sarawak merangkap Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS). Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.