KUALA LUMPUR: Sebarang aktiviti kegiatan pendakian, perkhemahan atau jungle trekking dalam hutan di seluruh Semenanjung tidak dibenarkan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pengarah Forest Eco-Park dan Hutan Taman Negeri, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Mohd Yussainy Md Yusop, berkata ini kerana perkara itu antara senarai aktiviti yang dilarang Majlis Keselamatan Negara di bawah perkara 17 Pengurusan Perhutanan.
“Perkara 17 Pengurusan Hutan, tidak membenarkan aktiviti ekopelancongan hutan dan latihan perhutanan. Sekatan ini melibatkan aktiviti seperti mendaki, menyelusuri air terjun atau mana-mana sukan lasak dalam hutan termasuk di Taman Eko Rimba (TER).
“Saya berharap orang ramai menghormati keputusan yang telah ditetapkan kerajaan walaupun terdapat permintaan tinggi supaya ia dibuka semula untuk kunjungan orang ramai selepas ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan,” katanya kepada Bernama semalam.
Mohd Yussainy berkata sekatan itu juga termasuk kepada aktiviti yang dilakukan secara berkumpulan atau berseorangan.
“Apabila ada banyak kumpulan kecil yang masuk dalam hutan, maka akan ramai juga jumlahnya. Jadi keadaan ini sukar untuk dikawal apatah lagi hutan adalah kawasan yang berisiko tinggi sekiranya berlaku kemalangan,” katanya.
Mohd Yussainy berkata, mana-mana individu yang didapati gagal mematuhi larangan penguatkuasaan ini boleh disabitkan di bawah Akta Perhutanan Negara, Seksyen 47 (1) dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Terdapat sebanyak 113 TER dan 14 hutan taman negeri yang terdapat di seluruh Semenanjung di bawah pengawasan jabatan itu.– Bernama