SIBU: Dua lelaki tempatan masing-masing berumur 16 dan 20 tahun ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Awang Ramli Amit Sibu, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, kedua-kedua mereka
disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang motosikal secara melulu dan melakukan aksi berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.
Menurutnya, operasi yang bermula dari jam 9 malam hingga 2.30 pagi itu, dijalankan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sibu.
“Dalam operasi itu, tiga lelaki tempatan telah diperiksa, dua lelaki ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, pelbagai kesalahan telah dikenalpasti dan tindakan saman telah diambil.
“Sebanyak tiga saman atas kesalahan tiada nombor pendaftaran, ubahsuai ekzos dan tidak pakai topi keledar telah dikenakan kepada kedua-dua penunggang motorsikal tersebut,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya demi keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.
“Ibu bapa juga disarankan supaya sentiasa memantau dan peka dengan aktiviti anak masing-masing agar tidak terlibat dengan kegiatan yang menyalahi undang-undang,” katanya.
Gambar
DITAHAN….Lelaki tempatan ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Awang Ramli Amit Sibu, malam tadi.