KUCHING: Perancangan Majlis Seni Sarawak (MSS) dalam mewujudkan Akademi Seni Sarawak (AKSES) merupakan inisiatif untuk mewujudkan pendidikan seni formal dan menjadikan seni dan kebudayaan Sarawak sebagai pembelajaran yang sistematik.
MSS merupakan salah satu agensi di bawah seliaan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak dan telah diluluskan untuk beroperasi sebagai Badan Berkanun Negeri baru-baru ini.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah berkata fungsi utama MSS adalah membudayakan dan mempertingkatkan penglibatan masyarakat dalam pelbagai aktiviti seni dan kebudayaan melalui tiga teras iaitu pemeliharaan, pemuliharaan dan pengekalan.
“Walaupun MSS masih ‘mudah’ dari segi pengoperasiannya, pelbagai strategi perancangan dan perlaksanaan Program Pembangunan Kesenian dan Kebudayaan Sarawak telah dijayakan dan kini MSS merangka pelbagai acara mega dalam mengangkat peranan dan martabat MSS sebagai platform seni dan budaya Sarawak,” jelasnya.
Di samping itu, tambahnya lagi, Pusat Seni Persembahan Sarawak atau Sarawak Performing Arts Centre (SPACE) masih dalam proses transformasi dan dijangka siap pada tahun 2023 dan merupakan pusat persembahan pertama di Sarawak.
Beliau juga turut berharap bahawa pandemik Covid-19 akan semakin berkurang pada tahun hadapan agar lebih banyak acara dan program mega dapat dilakukan seperti tahun lalu.
Program ‘Countdown 2021 dan 2022’, ‘Program Siasah Keilmuan Seni’ dan sebagainya merupakan program mega yang masih dalam perancangan dan kejayaan MSS mengadakan persembahan 3 malam berturut-turut pada 29 sehingga 31 Disember 2019 merupakan penanda aras kejayaan MSS kini.
“Ramai komuniti seni yang dari pelbagai suku kaum di Sarawak yang terlibat secara langsung pada malam tersebut yang terdiri daripada komuniti seni muzik, seni tari, seni teater dan kualiti sebegini yang kita titik beratkan dalam produk kita di mana banyak komuniti seni memperoleh bahagian dan penglibatan,” tambahnya.
Majlis Makan Malam Penghargaan Lembaga Pengarah Majlis Seni tersebut turut menyaksikan penyampaian cenderahati kepada mantan ahli lembaga pengarah MSS yang telah berkhidmat dari tahun 2017 sehingga 2020.
Oleh RYNNA SHA’ERRA MINDEW