KUCHING: Penyanyi Marsha Milena meluahkan rasa syukur dan terharu selepas meraih dua anugerah, iaitu Kulit Single/Album Terbaik dan Lagu Etnik Terbaik pada Anugerah Industri Muzik Ke-25 (AIM25) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam ini.
Marsha berkata, kemenangan itu cukup bermakna kerana ia merupakan antara pengiktirafan yang dinantikannya selepas lebih dua dekad berkecimpung dalam industri muzik.
“Saya sebenarnya sangat-sangat terharu dan tidak tahu hendak bermula dari mana. Namun, saya sangat bersyukur kerana ini merupakan antara anugerah yang saya nantikan sejak 20 tahun lalu.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya dapat berkarya dengan muzik saya sendiri dan alhamdulillah, saya berterima kasih kepada Amir Jahari kerana menghasilkan lagu yang sangat indah dan memberi inspirasi. Anugerah ini sebenarnya milik dia juga,” katanya.
Marsha berkata, album Misompuru menjadi antara karya yang paling dekat dengan dirinya kerana mengetengahkan elemen yang mencerminkan identiti serta akar budayanya sebagai anak Borneo.
Menurutnya, penghasilan album berkenaan dilakukan dengan sepenuh jiwa, selain mendapat sokongan dan kerjasama daripada rakan-rakan yang terlibat.
“Saya tidak pernah berhenti percaya kepada diri sendiri walaupun ada banyak ujian sepanjang perjalanan berkarya. Antara pembakar semangat saya ialah menghasilkan lagu-lagu yang berkaitan dengan DNA saya, iaitu Borneo.”
Marsha turut mengakui tidak menyangka akan membawa pulang kemenangan walaupun dua lagunya tercalon dalam kategori masing-masing.
Katanya, karya berkenaan dihasilkan dengan penuh keikhlasan tanpa meletakkan harapan tinggi untuk memenangi sebarang anugerah.
Oleh Adele Rissa



