
KUCHING: AirBorneo, syarikat penerbangan milik Sarawak hari ini melancarkan kempen perayaan ‘Harvest in Unity’, yang menawarkan diskaun 20 peratus ke atas tambang biasa bagi semua 21 destinasi dalam rangkaian Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS).
Promosi itu bertujuan memudahkan perjalanan balik kampung untuk ribuan penduduk Sabah dan Sarawak, yang pulang ke kampung halaman bersempena dengan sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.
Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin berkata, kempen itu mencerminkan komitmen AirBorneo untuk menjadi penghubung penyatuan keluarga, khususnya bagi mereka yang melakukan perjalanan ke kawasan pedalaman.
“Dengan menjadikan perjalanan ke kawasan pedalaman lebih mudah diakses, syarikat penerbangan itu berhasrat memastikan jarak bukan penghalang bagi mereka yang ingin meraikan musim menuai bersama keluarga dan komuniti di rumah panjang serta kampung di seluruh Borneo,” katanya.
Promosi itu menawarkan diskaun 20 peratus untuk tambang biasa, dan tempoh jualan bermula 1 hingga 5 Mei ini, manakala tempoh perjalanan pula dari 23 Mei hingga 7 Jun 2026.
Megat Ardian Wira berkata, kempen itu turut menekankan kepentingan spiritual dan komuniti dalam musim perayaan berkenaan.
“‘Harvest in Unity’ menjadi teras kepada segala yang kami lakukan pada musim ini. Bagi penumpang, penerbangan itu bukan sekadar perjalanan, tetapi membawa makna lebih besar iaitu peluang bersama ibu bapa, menikmati hidangan di rumah panjang, serta memelihara kekayaan warisan budaya,” katanya.
Beliau berkata, syarikat penerbangan itu akan terus menumpukan operasi perjalanan yang lancar dan perkhidmatan konsisten semasa tempoh puncak perjalanan.
“Kami komited menjadi tunjang kepada perjalanan serantau, memastikan kesalinghubungan kekal sebagai penghubung yang stabil dan diyakini bagi rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau turut menggalakkan pengembara supaya menempah tempat duduk lebih awal, dan tempahan boleh dibuat melalui laman web rasmi atau aplikasi mudah alih, tertakluk kepada ketersediaan serta terma dan syarat. – Bernama