
KUCHING: Aidilfitri bukan sekadar sambutan kemenangan selepas sebulan berpuasa, tetapi menjadi simbol kekuatan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama hidup bersatu-padu, ujar Senator Dato’ Ahmad Ibrahim dalam ucapannya sempena Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran JKKK Kampung Burung Lilin, malam tadi.
Dalam suasana mesra kekeluargaan yang berlangsung di Kampung Burung Lilin yang aman damai, Ahmad Ibrahim menekankan betapa pentingnya mempertahan nilai muhibah yang telah lama menjadi kekuatan Sarawak berbanding suasana politik perkauman dan keagamaan sempit yang semakin membimbangkan di Semenanjung Malaysia.
“Sarawak, negeri kita tercinta, telah lama menjadi contoh perpaduan dan toleransi. Di kala ada pihak lain masih tercari-cari rentak keharmonian, kita di sini sudah lama hidup dalam rukun dan hormat,” katanya.
Dalam majlis tersebut, Ahmad Ibrahim turut mendeklamasikan puisi dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris bagi menghargai kehadiran tetamu yang berlatarbelakangkan pelbagai budaya dan bahasa.
Petikan puisi Melayu:
“Aidilfitri datang membawa cahaya,
Menyinari hati, menjernih jiwa;
Walau berbeza rupa dan bahasa,
Kasih sesama tetap sama dirasa.”
Petikan puisi Inggeris:
“Though names and tongues may not be the same,
Our hopes and dreams are just one flame;
In Sarawak’s land where peace holds sway,
We live as one — that is our way.”
Berucap pada majlis itu juga, Ahmad Ibrahim turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan politik sempit yang memecah-belahkan rakyat di Semenanjung Malaysia, dan menyifatkannya sebagai pengkhianatan terhadap semangat perpaduan yang dibawa oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
“Kalau Tunku masih hidup, saya yakin beliau akan kecewa, malu dan marah melihat apa yang sedang berlaku hari ini — suasana yang bertentangan dengan impian Malaysia bersatu yang beliau perjuangkan.
“Kejayaan Malaysia bukan milik satu kaum atau satu agama. Ia milik kita bersama — rakyat yang bersatu, saling menghormati dan bekerjasama,” tegas beliau.
Beliau yakin bahawa Sarawak akan terus kekal sebagai contoh terbaik kepada negara.
“Inilah wajah sebenar Malaysia — damai, bersatu dan penuh harapan.
“Marilah kita pertahankan nikmat perpaduan ini demi masa depan anak cucu kita,” ujar beliau.
Majlis turut dihadiri ADUN Batu Kitang Dato’ Ir. Lo Khere Chiang, Ketua Kampung Poniman Dahlan, Penghulu penghulu dan KK-KK serta barisan JKKK serta penduduk Kampung Burung Lilin dan kawasan sekitar.
Majlis berakhir dengan sesi bersalam-salaman, jamuan Aidilfitri, pengagihan duit raya kepada anak anak kecil dan kumpulan asnaf, dan seruan agar semangat “Segulai Sejalai” dan “Bersatu Kita Teguh” terus dijadikan pegangan bersama.