DARO: Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi tampil menghulurkan sumbangan berupa wang tunai kepada Hospital Daro semalam.
Menurut Ahmad Johnie, sumbangan tersebut adalah bertujuan untuk membina wad isolasi Covid-19 di hadapan hospital tersebut di daerah ini.
“Kemudahan yang sedia ada masih kurang selesa bagi membuat saringan kepada pelawat dan pesakit yang datang ke hospital ini.
“Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk membantu pihak pengurusan Hospital Daro menyediakan kemudahan tempat saringan Covid-19 sejajar dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya selepasa menyerahkan sumbangan tersebut dalam satu majlis ringkas, semalam.
Hadir sama ialah Pengarah Hospital Daro, Dr Al Husna Dahyan, Abdul Rahman Al Hafiz Mohd Sabri, Pengerusi Surau Darul Hidayah Hospital Daro, Hadibah Kushairi, Matron Hospital Daro dan petugas lain.
Jelas Ahmad Johnie, permohonan untuk membina wad isolasi Covid-19 ini telah dimaklumkan oleh pihak pengurusan Hospital Daro kepada beliau pada tiga hari yang lepas.
Sementara itu, Ahmad Johnie turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan dan petugas Hospital Daro atas komitmen sepanjang wabak Covid 19 ini. “Mereka sentiasa bersiap siaga dan meletakkan kepentingan awam menjadi keutamaan,” ujarnya.