SRI AMAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berharap agar ahli Parti Rakyat Sarawak (PRS) kekal setia dan tidak bertindak ‘lompat parti’ seperti yang dilakukan oleh lain-lain ahli sebelum ini.
Menurut beliau tindakan mereka adalah sangat penting demi memperkukuhkan parti dan seterusnya menjadikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kekal utuh bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 akan datang.
“Kita dapati ada ahli telah bertindak keluar parti dan menyertai parti lain yang jelas sekali bukan dalam GPS walaupun tiada halangan untuk mereka berbuat demikian sebelum ini.
“Tindakan berkenaan jelas mensia-siakan perjuangan mereka dalam parti selama ini. Atas sebab ini saya mohon agar ahli-ahli kita (PRS) kekal setia dan tidak terpengaruh dengan hasutan bekas ahli untuk berbuat demikian kelak,” kata beliau.
Mong ketika berucap merasmikan Program Randau di Rumah Murin Augustine Buntu, Bakong Ai di sini juga memohon kepada rakyat agar terus memberi sokongan padu kepada Kerajaan Sarawak yang dipimpin oleh GPS pada masa sekarang.
Katanya sokongan itu penting agar Jawatankuasa Pembangunan Sri Aman (SADA) yang ditubuh oleh Kerajaan Sarawak sebelum ini dapat digerak untuk memacu proses pembangunan kawasan ini ke tahap lebih baik pada masa akan datang.
“Kita haruslah sama-sama memastikan SADA dapat berfungsi dengan baik. Salah satu caranya bagi memastikan SADA terus berfungsi adalah dengan mengekalkan Kerajaan Sarawak yang sedia ada sekarang.
“Saya yakin jika sokongan rakyat terus kekal utuh maka perancangan pembangunan yang digariskan dalam SADA akan dapat dipacu sejajar dengan kemunculan Sarawak sebagai antara negeri termaju dalam Malaysia menjelang tahun 2030 nanti,” kata Mong.
Beliau turut mengumumkan peruntukan RM12,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Murin, Bakong Ai dengan RM5,000 lagi diumum untuk Biro Wanita rumah panjang itu.
Pada majlis sama, beliau mengumum peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Bukit Begunan bagi tahun 2021 sebanyak RM150,000 untuk membangunkan prasarana di rumah panjang berkenaan.
Oleh Valentine ngumbang