
KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 10 pertuduhan menguruskan aktiviti pasaran modal tanpa lesen dan menipu berhubung skim pelaburan bon berjumlah RM3.16 juta, lima tahun lepas.
Bagi pertuduhan pertama, Razrul Anwar Rusli, 45, didakwa menjalankan suatu urusan dalam aktiviti terkawal iaitu berniaga dalam sekuriti sedangkan dia bukan pemegang lesen perkhidmatan pasaran modal dan tidak mendaftar bagi aktiviti berniaga dalam sekuriti.
Bekas Timbalan Ketua Bersatu Johor Bahru itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di sebuah rumah di Petaling Jaya antara April 2019 dan April 2021 mengikut Seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) dan boleh dihukum di bawah Sekyen 58(4) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM10 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga berdepan lapan pertuduhan menipu lima individu dengan membuat representasi mengenai skim pelaburan bon patuh syariah dikenali sebagai Amal Trust, menyebabkan mangsa memindahkan wang milik mereka berjumlah RM3.16 juta bagi tujuan pelaburan berkenaan sedangkan representasi itu adalah palsu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bangunan Yayasan Selangor, Jalan Raja Muda Abd Aziz di sini, Bandar Puchong Jaya dan Pandan Indah dekat sini serta di Jalan Jelutong, Pulau Pinang antara Januari 2020 dan April 2021 mengikut Seksyen 179(b) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 182 CMSA yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda RM1 juta.
Razrul Anwar yang bukan pemegang lesen atau wakil perkhidmatan pasaran modal turut didakwa mempamerkan gelaran pematuhan undang-undang sekuriti di laman sesawang “AMAL TRUST” yang mewujudkan kepercayaan bahawa dia dilesenkan untuk menjalankan urusan berhubung aktiviti terkawal iaitu berniaga dalam sekuriti sebagaimana dalam Jadual 2 CMSA.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Petaling Jaya antara April 2019 dan April 2021 mengikut Seksyen 362(3) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 372(1) CMSA yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hashley Tajudin dari Suruhanjaya Sekuriti (SC) manakala Razrul Anwar diwakili peguam Mohd Syamril Afzan Mohd Hasim.
Hakim Zulqarnain Hassan membenarkan tertuduh diikat jamin RM500,000 dengan dua penjamin warganegara bagi kesemua pertuduhan serta syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SC setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah dengan sebutan semula kes ditetapkan 17 Jun ini.
-Bernama