Pampasan RM147,400, Mahkamah Persekutuan benarkan AirAsia merayu

Facebook
WhatsApp
Foto hiasan

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini memberikan kebenaran kepada AirAsia Berhad (AAB) untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan pembayaran pampasan sebanyak RM147,400 kepada bekas pembantu juruterbang yang diberhentikan kerja semasa pandemik Covid-19 pada tahun 2020.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Azimah Omar, membenarkan permohonan kebenaran merayu AAB dengan keputusan majoriti 2-1.

Hakim Rhodzariah dan Hakim Lee membenarkan permohonan tersebut, manakala Hakim Azimah membuat keputusan menentang.

Peguam Wendy Lam Mei Kuan yang mewakili AAB, telah mengemukakan tujuh persoalan undang-undang, yang mana menurutnya melibatkan prinsip undang-undang yang penting serta hal-hal kepentingan awam untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Antara persoalan tersebut ialah sama ada majikan anak syarikat boleh mewajarkan langkah pemberhentian pekerja dengan merujuk kepada kerugian kewangan atau kedudukan syarikat induknya mahupun entiti kumpulan yang berkaitan. 

Persoalan lain membabitkan sama ada tindakan majikan menggunakan cuti sakit berkanun atau kontrak, sebagai faktor negatif dalam kriteria pemilihan untuk pemberhentian pekerja dibenarkan di sisi undang-undang, atau ia bertentangan dengan prinsip keadilan dan dasar awam.

Mahkamah Persekutuan juga akan menentukan sama ada kebergantungan majikan terhadap sistem berdasarkan prestasi atau mata, yang telah berkuat kuasa sebelum langkah pemberhentian itu, membentuk kriteria pemilihan yang adil, sah dan objektif dalam proses pemberhentian pekerja.

Pada 14 April tahun ini, Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan yang memihak kepada How Zheng Hong, selepas mendapati pemberhentian kerja tersebut telah dilakukan tanpa sebab atau alasan yang munasabah.

Mahkamah itu telah memerintahkan pampasan sebanyak RM147,000 kepada How, yang merangkumi tunggakan gaji dan pampasan sebagai ganti pemulihan kerja, selepas mengambil kira pampasan yang telah dibayar kepadanya oleh AAB berikutan pemberhentian tersebut serta pendapatan yang diperolehinya selepas penamatan perkhidmatan.

How telah menyertai AAB pada tahun 2009, namun diberhentikan kerja pada Jun 2020. 

Pada 15 Mei 2023, Mahkamah Perusahaan telah menolak tuntutan How, dengan memutuskan bahawa AAB telah berjaya membuktikan berdasarkan imbangan kebarangkalian bahawa penamatan perkhidmatan How, dilakukan dengan sebab dan alasan yang munasabah.

How kemudiannya memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi untuk memohon antara lain, satu perintah certiorari bagi membatalkan keputusan Mahkamah Perusahaan, serta perintah susulan bagi pampasan sebagai ganti pemulihan kerja.

Walau bagaimanapun, pada 3 Oktober 2024, Mahkamah Tinggi turut menolak permohonan semakan kehakimannya. Beliau kemudiannya memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan, yang mana telah membenarkan rayuannya.

Semasa prosiding hari ini, peguam Wong Jia Ee hadir mewakili AAB manakala peguam Lai Chee Hoe, G. Deyvinah dan Low Yen Hau mewakili How. – Bernama