KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperoleh 56.1 peratus undi popular, manakala pembangkang 43.9 peratus pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang berakhir Sabtu lalu.
Di kalangan empat parti komponen GPS pula, lima calon – semuanya mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) muncul sebagai calon yang memperoleh undi popular paling tinggi.
Sumber memberitahu, paling tinggi undi popular ialah Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi yang memperoleh 93.2 peratus, diikuti Yusuf Abdul Wahab (Tanjung Manis) 86.5 peratus, Dato Sri Nancy Shukri (Santubong) 84.4 peratus, Rodiyah Sapiee (Batang Sadong) 83.3 peratus dan Dato Sri Fadillah Yusof (Petra Jaya) 79.2 peratus.
Mengikut formula undi popular, ia dikira berdasarkan jumlah keluar mengundi dan peratusan yang mengundi calon.
Contohnya, Parlimen Igan, jumlah keluar mengundi ialah 16,986 orang dan 93.2 peratus daripadanya mengundi calon GPS. Begitu juga kiraan undi bagi kawasan lain, kerana undi popular bukan mengambil kira majoriti undi diperoleh.
Pada PRU-15 Sabtu lalu, Ahmad Johnie yang mengekal kerusi Parlimen Igan bagi penggal kedua menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) dari Parti Amanah Negara (AMANAH), Andri Zulkarnaen Hamden dengan majoriti 14,662 undi. Andri hilang wang pertaruhan.
Yusuf pula menewaskan calon PH-AMANAH, Zainab Suhaili di Tanjung Manis dengan majoriti 13,908 undi, manakala Nancy menewaskan dua calon lain dengan majoriti 36,681 undi. Dua calon yang tewas ialah dari PH-AMANAH, Mohamad Zen Peli dan calon Bebas, Affendi Jeman.
Rodiyah, calon muka bahaharu GPS menang bergaya dengan majoriti 14,893 undi menewaskan Setiausaha Kerja AMANAH Sarawak, Lahaji Lahiya mewakili gabungan PH.
Fadillah pula memenangi kerusi Parlimen Petra Jaya dengan majoriti 41,363 undi, menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari PH, Sopian Julaihi dan Presiden Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR), Othman Abdillah.