KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara di sini, hari ini.
Pasangan diraja itu berangkat tiba di masjid berkenaan pada pukul 8.15 pagi diiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Solat sunat dipimpin Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni itu turut disertai anggota Jemaah Menteri serta Timbalan Menteri bersama pasangan dan orang awam.
Ini kali kedua Yang di-Pertuan Agong menunaikan solat sunat itu di luar dari Istana Negara.
Tahun lepas, Seri Paduka menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan setelah dua tahun baginda melakukannya di Istana Negara berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.
Khutbah Aidilfitri bertajuk “Aidilfitri Lebih Bererti” dibacakan Ehsan, antaranya menyeru umat Islam agar memanfaatkan keberkatan Aidilfitri untuk memperbaiki hubungan persaudaraan sesama anggota masyarakat.
Selain itu, umat Islam turut diseru untuk menyemai perasaan saling menyayangi, menghormati antara satu sama lain, toleransi dan hidup dalam kesepaduan yang utuh bagi membangunkan negara secara holistik.
Sebelum berangkat pulang, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan jemaah.
Perdana Menteri turut meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan jemaah.
Seri Paduka berdua kemudian berangkat meninggalkan masjid pada 9.15 pagi diikuti Anwar dan Jemaah Menteri serta Timbalan Menteri. – Bernama