KUALA LUMPUR: Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi meningkatkan kemahiran kira-kira 1,000 pendidik Prinsip Perakaunan di seluruh negara, sekali gus menyokong sasaran Malaysia untuk melahirkan 60,000 akauntan menjelang 2030.
Dalam kenyataan hari ini, ACCA memaklumkan bahawa inisiatif itu bertujuan memperkukuh kumpulan bakat perakaunan negara dengan meningkatkan pengetahuan perakaunan serta menyediakan peluang pembangunan profesional dalam kalangan pendidik.
Inisiatif itu juga membolehkan mereka memperkenalkan literasi kewangan, bidang perakaunan serta pelbagai laluan kerjaya dalam profesion berkenaan kepada pelajar dengan lebih berkesan.
“Inisiatif itu turut menyokong objektif ACCA untuk memajukan literasi kewangan, meningkatkan daya tarikan profesion perakaunan serta kesedaran mengenai laluan Asas dalam Perakaunan (FIA), selain membangunkan kumpulan bakat profesional perakaunan dan kewangan.
“Melalui inisiatif ini, pendidik yang mengambil bahagian akan mengikuti Diploma ACCA dalam Kewangan dan Pengurusan (RQF Tahap 2) bagi memperkukuh pengetahuan serta keupayaan dalam bidang perakaunan dan literasi kewangan,” menurut kenyataan itu.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata selain memperkukuh tenaga profesional, usaha membangunkan bakat dalam bidang perakaunan perlu menumpukan kepada usaha menyuntik inspirasi dan mempersiapkan generasi akan datang.
“Sasaran negara untuk melahirkan 60,000 akauntan menjelang 2030 memerlukan kita bukan sahaja memberi tumpuan kepada tenaga profesional sedia ada, tetapi juga memberi inspirasi dan mempersiapkan generasi akan datang.
“Dengan memperkukuh keupayaan guru, kita turut memperkasa mereka untuk membimbing pelajar menyambung pengajian dan membina kerjaya masa depan dalam bidang perakaunan, kewangan dan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata bidang perakaunan ialah profesion yang sentiasa berkembang dan semakin berkait rapat dengan teknologi, kemampanan, strategi perniagaan, keusahawanan serta pembuatan keputusan.
Pendidik memainkan peranan penting dalam membantu pelajar memahami bagaimana pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari boleh diaplikasikan dalam situasi dunia sebenar.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ACCA Helen Brand berkata pendidik ialah rakan kongsi penting dalam usaha ACCA memajukan literasi kewangan dan membangunkan bakat yang diperlukan oleh majikan untuk mengembangkan perniagaan serta organisasi.
“Tugas kami adalah untuk memastikan pembelajaran dan latihan yang ditawarkan kepada pelajar relevan dengan perubahan dunia, apabila agenda perniagaan semakin dipengaruhi oleh usaha ke arah kemampanan serta perkembangan pesat teknologi, khususnya kecerdasan buatan (AI).
“Justeru, kami menggalakkan pendidik membantu pelajar menyedari bahawa bidang perakaunan bukan sekadar satu mata pelajaran, tetapi merupakan laluan kepada peluang kerjaya yang lebih luas,” katanya.
Beliau berkata pelajar juga perlu didedahkan bahawa kelayakan ACCA boleh membuka peluang yang menarik, bukan sahaja di dalam negara, malah di seluruh dunia.
Program itu mendapat kerjasama TYMBA Education, iaitu rakan kongsi ACCA, yang menyediakan tuisyen, sokongan akademik dan pelaksanaan program kepada pendidik yang mengambil bahagian.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif TYMBA Education Airil Razali berkata inisiatif itu menunjukkan kepentingan melabur dalam pembangunan pendidik sebagai usaha memperkukuh pendedahan pelajar terhadap bidang perakaunan dan peluang kerjaya.
“Selain pengetahuan teknikal dan pendedahan, kami turut melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan keyakinan untuk menerangkan perkembangan profesion ini, termasuk bagaimana kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital mengubah cara tugas kewangan dilaksanakan, serta kepentingan pelaporan mampan.
“Apabila pendidik memahami perubahan ini, mereka boleh mendidik pelajar untuk menyedari bahawa bidang perakaunan, kewangan dan perniagaan ialah pilihan kerjaya yang mempunyai masa depan,” katanya.
Sebanyak 156 pendidik daripada kumpulan pertama yang menamatkan program itu menerima pengiktirafan pada Majlis Kecemerlangan dan Penghargaan Pendidik 2026 bertemakan “Memperkasa Pendidik, Membentuk Masa Depan”.
Mereka akan menjadi duta pendidik ACCA bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar serta menggalakkan mereka meneroka peluang melanjutkan pengajian dan membina kerjaya dalam bidang perakaunan, kewangan dan perniagaan. – Bernama




