ADI SAFARMAN
SARATOK: Proses pengagihan sumbangan Bantuan Makanan Sarawakku Sayang oleh Kerajaan Sarawak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka dan Krian telah selesai sepenuhnya semalam.
Penyelarasnya, Kasdi Pandi berkata seramai 4,393 Ketua Isi Rumah (KIR) di DUN Kalaka yang melibatkan kampung dan rumah panjang telah menerima bantuan tersebut.
“Alhamdulillah, pihak kita telah berjaya menyelesaikan penghantaran bantuan makanan kepada seluruh penduduk di DUN Kalaka dalam tempoh masa beberapa hari sahaja,” katanya semalam.
Beliau berkata semua penduduk di DUN Kalaka yang terkesan akan dibantu sewajarnya secara berperingkat-peringkat dan memastikan tiada seorang pun yang akan tercicir menerima bantuan ini.
“Sekiranya masih terdapat KIR tertinggal menerima bantuan, sila berhubung dengan penghulu atau ketua kampung serta tuai rumah kawasan masing-masing dan Pejabat Daerah Saratok untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Kasdi turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat proses pengagihan dan penghantaran bantuan tersebut.
Dalam pada itu, Pusat Khidmat DUN Kalaka juga telah menyelaras pengagihan Bantuan Makanan Sarawakku Sayang kepada penduduk di DUN Krian.
“Bagi DUN Krian, penghantaran sebanyak 4,770 KIR juga telah selesai dan semua penduduk telah dibantu melalui sumbangan oleh Kerajaan Sarawak.
“Pengagihan bagi kedua-dua Zon iaitu DUN Kalaka dan DUN Krian telah mengambil masa selama dua minggu dan berpusat di Dewan Masyarakat Sri Krian Saratok,” jelas Kasdi.
Beliau berkata, pengagihan bantuan bekalan makanan kepada kumpulan sasar dilakukan melalui darat dan sungai.
“Ketika ini usaha sedang giat dilaksanakan bagi menyelesaikan pengagihan bantuan bekalan makanan kepada golongan yang tercicir nama mereka dalam tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang,” ujar beliau sambil menambah ia sekali gus bagi membantu meringankan bebanan rakyat sepanjang tempoh PKP.
Kasdi menasihatkan orang ramai supaya mematuhi PKP dilanjutkan sehingga 28 April ini bagi mengekang penularan wabak COVID-19.